Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Kemboja, khususnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan, semasa kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja, H.E. Samdech Thipadei Hun Manet, di Peace Palace, Phnom Penh.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah usaha memuktamadkan Memorandum of Understanding (MoU) Kerjasama Pertahanan Malaysia-Kemboja, yang bakal menjadi kerangka penting dalam memperluas serta memperkukuh kerjasama pertahanan kedua-dua negara.
Malaysia dan Kemboja turut berkongsi pandangan mengenai kepentingan ASEAN Centrality, dialog dan mekanisme serantau dalam menangani cabaran keselamatan, termasuk usaha berterusan ke arah keamanan dan kestabilan di sempadan Kemboja-Thailand. Malaysia turut menzahirkan sokongan berterusan terhadap ASEAN Observer Team (AOT) serta penyelesaian secara aman melalui dialog dan rundingan.
Dalam konteks keselamatan serantau, kedua-dua pihak turut menyentuh kepentingan memuktamadkan Code of Conduct (COC) di Laut China Selatan sebagai langkah penting bagi memastikan keamanan, kestabilan dan ketertiban berasaskan peraturan terus terpelihara. Malaysia dan Kemboja juga komited memperkukuh kerjasama pertahanan dalam bidang-bidang baharu termasuk latihan peperangan hutan, industri pertahanan, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dron.
Sumber: Facebook rasmi Khaled Nordin — https://www.facebook.com/MohamedKhaledNordin


