Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Pertahanan Vietnam, TYT Jeneral Phan Văn Giang, sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke negara itu.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai usaha memperkukuh kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Vietnam agar hubungan sedia ada terus berkembang secara lebih strategik, substantif dan berterusan. Khaled Nordin turut mengemukakan cadangan supaya mekanisme kerjasama diperkasakan melalui High-Level Committee bagi memastikan setiap inisiatif dapat diselaras dan dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Pelbagai bidang kerjasama turut dibincangkan, termasuk latihan ketenteraan dua hala, perkongsian risikan, “maritime domain awareness”, operasi menyelamat kapal selam, kecerdasan buatan (AI), industri pertahanan serta usaha menghadapi cabaran keselamatan baharu seperti aktiviti “grey zone”. Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perkembangan strategik serantau termasuk Laut China Selatan, dengan Malaysia menegaskan sokongan terhadap pemuktamadan Code of Conduct (COC) yang efektif dan bermakna.
“Saya menghargai sambutan positif TYT Jeneral Phan terhadap pelbagai cadangan yang dikemukakan Malaysia, di samping komitmen beliau untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara,” kata Khaled Nordin.
Sumber: Facebook rasmi Khaled Nordin — https://www.facebook.com/MohamedKhaledNordin


