UMNO Sinonim Politik Khidmat Bakti, Cabaran PRN Kembalikan Keyakinan Rakyat Kepada Parti

KUALA LUMPUR, 12 April – UMNO sememangnya sinonim dengan politik khidmat bakti dan ini dibuktikan dengan tanpa mengira ketika berada di dalam kerajaan atau pembangkang, pemimpinnya berjawatan atau tidak, UMNO sentiasa menyantuni rakyat.

Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata ini kerana pemegang jawatan atau ahli dalam parti sentiasa memegang amanah prihatin terhadap kepentingan rakyat tanpa mengira masa dan musim terutama kepada mereka yang benar-benar memerlukan

“Pemegang-pemegang jawatan dalam UMNO walaupun ada yang wakil rakyat tetapi ramai yang bukan wakil rakyat masih menjalankan tugasan menyantuni masyarakat tidak kira masa, tidak kira ada jawatan atau tidak.

“Kita tak perlu nak tunggu ‘last minute’ buat kerja sebab kita memegang satu amanah. Kita kena tahu sebelum pegang jawatan (mesti tahu) kita mesti melakukan tugasan dan amanah yang diberikan,” ujarnya kepada UMNO Online.

Tambah Dr Noraini, sebagaimana selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, walaupun tidak lagi menjadi kerajaan ketika itu, rakyat masih mencari UMNO.

“…’even’ masa kita kalah, lepas kalah orang masih mencari UMNO dan UMNO tanpa rasa terbeban apabila tiada jawatan, tetap juga turun dan menyantuni masyarakat setempat terutama mereka yang memerlukan.

“Sebab parti kita (dalam konteks wanita) Skuad Sayang memang kita fokus kepada kebajikan dan cuma kita kena tambah baik agar apabila pilihan raya nanti kita mendapat sokongan daripada rakyat terhadap Barisan Nasional (BN),” katanya.

Justeru, Dr Noraini berpandangan cabaran yang paling hampir akan dihadapi parti adalah Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak iaitu Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Cabaran kita adalah macamana kita hendak perolehi keyakinan dan undi dari rakyat. Itu adalah satu cabaran yang perlu kita pikul dan cuba buat sedaya upaya supaya mereka kembali mempercayai dan mengundi BN,” katanya.

Begitu juga jelasnya lagi, parti perlu memperbaharui cara gerak kerja supaya selari dan juga tepat dengan permintaan semasa.

“Kita perlu tambah baik dan mendekatkan diri kita dengan masyarakat-masyarakat dan pengundi-pengundi terutamanya pengundi muda. Sebab itu kombinasi antara Wanita, Pemuda dan Puteri memang dari dulu gerak kerja kita serentak tetapi berasingan dan kita diselaraskan oleh ‘war room’.

“Tapi kita akui mungkin perlu ditambah baik cara gerak kerja kita dan ‘up to date’ dengan zaman teknologi, sekarang dengan ChatGPT. Insya-Allah kita akan lakukan perubahan untuk menyantuni pengundi-pengundi,” katanya.

Berhubung dengan barisan exco Wanita UMNO Malaysia yang baru-baru ini dipilih dan dilantik, Dr Noraini yakin mereka berupaya menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dengan sebaiknya. – UMNO ONLINE

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top