Mohd Hairi Harap Barisan Kepimpinan Pemuda Dukung Institusi Presiden, Bawa Naratif Segar

KUALA LUMPUR, 7 April – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah berharap agar barisan kepimpinan Pemuda yang diberi mandat dan dilantik sepanjang penggal 2023-2026 terus mendukung kepimpinan Presiden parti di samping membawa naratif segar bagi mengembalikan roh perjuangan.

Menurutnya, beliau dapat melihat semangat para pimpinan sayap itu yang menghadiri mesyuarat pertama Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia meskipun mereka turut disertai muka-muka baharu.

“Alhamdulilah, syukur ke hadrat Allah SWT mesyuarat pertama Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah dijalankan dan diketuai oleh Dr Muhamad Akmal Saleh.

“Kita dapat melihat ramai muka-muka baharu daripada calon-calon yang telah menawarkan diri. Alhamdulilah saya melihat semangat mereka yang hadir untuk memberikan kerjasama dengan visi dan misi yang dibawakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

“Saya ucapkan tahniah kepada kesemua exco Pergerakan Pemuda yang telah diberikan mandat oleh para perwakilan pada 11 Mac lepas. Begitu juga dengan yang telah dilantik oleh Ketua Pergerakan Pemuda iaitu Ketua-Ketua dan juga Naib-Naib Ketua Pergerakan Pemuda Negeri,” katanya kepada UMNO Online berkaitan pelantikan barisan Exco Pergerakan Pemuda UMNO yang berlangsung pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Hairi turut yakin dan percaya bahawa barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO baharu ini mampu untuk membawa UMNO ke landasan lebih baik.

“Insya-Allah saya yakin serta percaya kewibawaan, kebolehan masing-masing untuk membawa nakhoda UMNO ini ke landasan yang lebih baik dan menyokong institusi Presiden secara tidak langsung.

“Harapan saya yang pastinya mereka mestilah terus mendukung kepimpinan Presiden. Keduanya, kita haruslah membawa naratif segar kepada orang di luar sana bagi mengembalikan roh perjuangan di samping memulihkan semula parti yang disayangi oleh orang Melayu.

“Kita berharap agar kepercayaan orang di luar sana dapat dikembalikan untuk bersama-sama kembali dengan parti keramat Melayu ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top