KPT TIDAK AMALKAN ‘KEPOLISAN PENDIDIKAN’ KE ATAS UNIVERSITI

GEORGE TOWN, 3 April – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan mengamalkan “kepolisan pendidikan” untuk mengawal universiti dalam soal berkaitan aktiviti politik di kampus, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Kita mahu melahirkan graduan yang berilmu dan kita juga mahu bangunkan kekuatan pemikiran mereka, oleh itu kita tidak mahu mereka taksub dengan satu-satu pemikiran dari awal.

“Saya tidak kawal pihak universiti dan kementerian tidak berminat untuk melakukan ‘educational policing’. Saya bukan polis mahu jaga mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Universiti Sains Malaysia di sini hari ini.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan membenarkan parti politik menubuhkan cawangan di universiti, beliau berkata baru-baru ini ada perbahasan oleh wakil rakyat di Parlimen yang menyatakan bahawa ini adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan.

Katanya pada sesi perbahasan tersebut, semua wakil rakyat secara konsensus bersetuju dengan pendirian parti politik tidak boleh wujud di institusi pengajian tinggi.

“Ahli-ahli politik boleh masuk ke kampus untuk menghadiri apa-apa program jika mendapat kebenaran oleh pihak universiti,” katanya.

Mohamed Khaled turut berkata garis panduan berkenaan kebenaran masuk diserahkan kepada pihak universiti sendiri. – BERNAMA

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top