Pada hari ini, Datuk Seri Mohamed Khaled Bin Nordin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang mempengerusikan Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang pertama tahun 2023 selepas beliau dilantik sebagai Pengerusi UMNO Johor.
Beliau juga adalah Menteri Pendidikan Tinggi dan Ahli Parlimen Kota Tinggi kembali menjawat jawatan Pengerusi UMNO Johor, selepas lima tahun disandang oleh Dato’ IR Datuk Hasni Mohammad. Beberapa pemimpin lain turut dilihat hadir antaranya Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali; Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Ab Samad dan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Dalam mesyuarat pertama itu, Datuk Khaled yang juga adalah Naib Presiden UMNO telah menyentuh pelbagai perkara yang dibincangkan termasuklah perancangan dan hala tuju bagi memulih, merawat dan memantapkan semula kekuatan UMNO Johor. Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu turut menyentuh tentang pemilihan UMNO yang akan berlaku di semua peringkat dan UMNO Johor akan pastikan ianya berlangsung dalam keadaan lancar dan tenteram.
“Saya menyeru agar semua pemimpin UMNO Johor bertaut kembali dan bermuafakat demi kelangsungan parti keramat orang Melayu ini.” kata Datuk Seri Mohamed Khaled Bin Nordin.