PARIT SULONG, 12 Ogos – UMNO perlu menonjolkan diri sebagai pencatur politik paling dominan dalam politik Melayu Islam di Malaysia.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, orang Melayu tetap perlu memilih UMNO kerana parti itu yang telah membangunkan Melayu dan Islam selama ini.
“UMNO yang meletakkan kedudukan kita pada tahap kebolehsaingan waktu ini, yang telah berkhidmat untuk orang Melayu dan orang Melayu terbela kerana UMNO kuat dan mampu berkhidmat.
“Pilihan untuk orang Melayu hanya satu, UMNO. Bukan PAS, Bersatu, Amanah, PKR dan sudah tentu bukan DAP. Mereka hanyalah serpihan dari UMNO,” kata beliau ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong, MRSM Batu Pahat hari ini.
Tegas Mohamed Khaled, pelbagai parti politik telah datang dan pergi tanpa membawa apa-apa perubahan yang dijanjikan.
“Mereka hadir dengan seribu cerita, seribu janji, seribu semangat kononnya mereka punya idea besar untuk agama, bangsa dan negara tetapi akhirnya mereka tewas dan gugur satu persatu.
“Mengapa harus dilihat kepada serpihan-serpihan kecil tersebut, sedangkan kerangka utamanya (UMNO), masih ada, masih bertenaga, malah bertambah kuat?
Jelas beliau, pemikiran orang Melayu menjangkaui janji-janji manis semata-mata dan mereka tahu menilai kerja-kerja yang dibuat oleh UMNO.
“Mereka terlupa saat mereka ke hulu dan ke hilir menabur janji yang manis, memberi harapan yang kabur, orang UMNO sedang bekerja keras, berkhidmat dan berbakti tanpa henti.
“Mereka terlupa bahawa orang Melayu melihat semua ini, dan memikirkan orang Melayu adalah pengundi yang mudah diyakini, yang akan percaya bulat-bulat semua cerita mereka,” katanya.
Beliau seterusnya menyeru ahli-ahli UMNO untuk terus melipat gandakan usaha memastikan kemenangan UMNO dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
“Dalam masa enam bulan ini, marilah sekali lagi kita bekerja keras untuk UMNO dan pastikan kemenangan paling besar dan paling meyakinkan.
“Kita leburkan angan-angan DAP dan konco-konconya. Kita musnahkan harapan pakatan tiga kepala. Biar mereka sedar mereka adalah pakatan yang tiada harapan,” kata beliau.
Sumber : Jauhar