Pagoh, 12 Ogos – UMNO Bahagian Pagoh mendapat pujian daripada Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ekoran kejayaan bahagian itu mengawal dan beransur pulih ekoran penyingkiran bekas ketuanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, kewibawaan pemangku ketua bahagian itu, Ismail Mohamed telah melaksanakan tugasnya dengan baik susulan gelora politik yang melanda bahagian Pagoh.
“Kepimpinan beliau bersama rakan-rakan dalam suasana kesukaran di Pagoh ini telah berjaya mentransformasikan minda politik di Pagoh, khususnya dalam kalangan UMNO ke bentuk politik matang.
“Politik matang yang diterjemahkan di Pagoh ini harus dihormati bukan hanya oleh kepimpinan dan ahli-ahli UMNO seluruh Johor tetapi juga oleh UMNO seluruh Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed.
Zahid berkata beliau memahami sentimen di Pagoh mengenang jasa yang ditabur oleh bekas ketua mereka dan kesukaran yang mereka hadapi untuk meneruskan perjuangan.
“Saya faham jika rasa terima kasih itu terus ada di dalam minda kita, apatah lagi keterhutangan budi. Namun, dengan kematangan politik yang diterjemahkan oleh anda di Pagoh, kepentingan parti telah diletakkan di atas kepentingan individu,” katanya.
Mohamed Khaled juga memuji Ismail atas keberaniannya menjemput Zahid bagi merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian itu.
“Keputusan ini sangat besar kesannya, bukan sesuatu yang mudah dilakukan kerana kehadiran Datuk Seri Ahmad Zahid pasti akan menimbulkan nostalgianya tersendiri.
“Kita harus berbangga kerana UMNO Pagoh terus berfungsi dengan baik, UMNO Pagoh tidak lagi menoleh ke belakang.
“Pagoh telah kembali seperti sedia kala, teguh bermuafakat, istiqamah dalam perjuangan, bersetia dan ikhlas untuk memajukan bangsa bersama UMNO,” kata beliau.
Sumber : Jauhar