ADUN Dwi Kerakyatan : Tindakan Dap Amat Memalukan, Naif Perlembagaan

PASIR GUDANG, 21 Mei – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Azman Ja’afar hari ini menyifatkan Dap sebagai sebuah parti yang amat memalukan dan tidak mempunyai semangat patriotik yang tinggi ekoran tindakannya mencalonkan Dr Ting Tiong Choon sebagai calon di DUN Pujut pada Pilihanraya Negeri Sarawak yang lalu.

Tindakan Dap itu juga tegasnya turut memperlihatkan betapa Dap amat naif tentang perlembagaan negeri dan juga negara.

“Jelas sekali, Dap serta wakil rakyatnya telah melanggar dua dari lima tiang Rukun Negara Malaysia; iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan.

“Lebih menyedihkan lagi dan teramat biadap, apabila kepimpinan Dap Pusat menyuarakan ura-ura mereka ingin membawa kes perlucutan YB Ting sebagai wakil rakyat Sarawak ke mahkamah.

“Seharusnya mereka tahu bahawa tindakan mereka mencalonkan Dr Ting Tiong Choon sebagai calon pilihanraya negeri yang lepas sebagai suatu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab malah teramat biadap kerana mereka sememangnya tidak langsung menghormati perlembagaan serta undang-undang Malaysia,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah beliau peristiwa penipuan YB Ting yang tidak mengaku bahawa beliau mempunyai dua kerakyatan menegaskan kepada umum bahawa Dap bukanlah sebuah parti politik yang ditubuhkan untuk membantu negara ataupun rakyat Malaysia, malah Dap sebenarnya adalah parti yang diasaskan untuk memenuhi kemahuan serta kegilaan sesebuah keluarga dan kaum.

“Ini amat jelas bahawa sejak ditubuhkan pada tahun 1965, hanya Kit Siang sahaja yang memimpin parti tersebut dan pilihan kedua adalah anaknya sendiri, Lim Guan Eng”, katanya.

Tegasnya lagi rakyat Malaysia khususnya bangsa Johor, tidak akan sesekali menerima tindak tanduk Dap ini yang bukan sahaja tidak ada maruah malah boleh dianggap sebagai parti yang kuat berbohong, cauvinis serta parti yang hanya membenarkan undang-undang negara menyebelahi mereka sahaja.

“Sehubungan itu, kita mendesak agar kerajaan Johor mewartakan agar mereka-mereka yang mempunyai dwi kerakyatan ditarik balik kerakyatan mereka kerana tidak ada gunanya kita menyimpan si `talam dua muka’, musuh dalam selimut dan lebih tepat lagi penghianat negara ini kerana mereka yang mempunyai dwi kerakyatan ini akan sanggup menggadaikan negara Malaysia kita yang tercinta kepada musuh-musuh negara untuk kepentingan peribadi mereka,” tambahnya lagi. -UMNOOnline

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top