BN Johor Mahu Rampas Kembali Kerusi Parlimen Tewas Pada PRU-13

JOHOR BAHRU, 19 Mei — Barisan Nasional (BN) Johor akan menumpukan usaha merampas kembali kerusi Parlimen di negeri ini, yang tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lepas.

Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya akan memastikan kemenangan BN di kawasan berkenaan walaupun pembangkang melahirkan keyakinan untuk menawan 15 kerusi Parlimen di negeri ini, pada PRU ke-14 akan datang.

“Suruh mereka (pembangkang) sebutkan kawasan mana (15 kerusi) yang mereka hendak tawan di Johor,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Jualan Mega Muafakat Johor 2017 di kawasan parkir Stadium Tertutup Pasir Gudang, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan pemimpin Pakatan Harapan, yang yakin menawan 15 kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU ke-14, selepas mesyuarat khas Pakatan Harapan Johor di sini, semalam.

Pada pilihan raya umum lepas, BN Johor menguasai 21 daripada 26 kerusi Parlimen. Lima kerusi yang dikuasai pembangkang adalah Kulai, Gelang Patah, Kluang, Batu Pahat dan Bakri, sebelum Parlimen Pagoh menjadi kerusi pembangkang.

Mengenai Karnival Jualan Mega Muafakat Johor, Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata penganjuran kali keduanya akan diperluaskan ke kawasan Iskandar Malaysia.

Beliau berkata penganjurannya juga akan diadakan tiga kali setahun berbanding setahun sekali ketika ini.

“Penganjuran karnival seumpama ini dilihat dapat membantu rakyat dalam berdepan kenaikan harga barang yang tidak menentu pada masa ini. Sesungguhnya, kerajaan Johor amat prihatin terhadap kesusahan rakyat,” katanya.

Karnival Jualan Mega Muafakat Johor 2017 dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Johor itu, diadakan selama tiga hari bermula hari ini.

Lebih 50 pengeluar barangan dan pempamer menyertai karnival berkenaan.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top