PASIR GUDANG, 21 Mei – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Parlimen Pasir Gudang berjaya menyahut saranan Kerajaan Negeri dengan membelanjakan lebih 40 peratus daripada hasil pendapatan untuk tujuan pembangunan.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata pencapaian itu juga membuktikan perbelanjaan pembangunan dapat ditingkatkan dan bukan semata-mata untuk perbelanjaan pengurusan.
“Pada tahun ini, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah berjaya mencapai 41.8 peratus untuk belanja pembangunan. Manakala Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) pula adalah sebanyak 33 peratus.
“Pencapaian tersebut membuktikan PBT di parlimen ini telah melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka melalui pendekatan yang inklusif dan seimbang demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena lawatan kerjanya ke Parlimen Pasir Gudang, di Dataran Permas, Bandar Baru Permas Jaya, di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abd. Samad dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Beliau berkata peranan PBT dalam aspek pembangunan akan memastikan wujudnya keseimbangan melalui pelbagai projek yang sedang dan akan dilaksanakan di Parlimen Pasir Gudang.
“Soal pembangunan yang dilaksanakan oleh kedua-dua PBT ini akan memastikan masyarakat yang tinggal di parlimen ini mendapat manfaat daripadanya.
“Malah, Kerajaan Negeri juga tidak perlu menyalurkan peruntukan kepada Parlimen ini kerana memperoleh sumber peruntukan daripada kedua-dua PBT ini,” katanya.