Agenda UMNO Johor Majukan Melayu

Oleh Mohd Izani Mohd Zain

Sebagai parti teras dan tulang belakang kepada kerajaan sejak merdeka, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO mempunyai cerita dan pengkisahan perjuangan yang besar. Dari perjuangan menuntut kemerdekaan sehinggalah kepada usaha menjaga kedudukan Islam dan kepentingan orang Melayu di tanah air, UMNO mempunyai pengalaman tersendiri yang tidak dimiliki oleh parti lain.

Kini, UMNO telah meniti usia 70 tahun. Banyak pihak tidak lagi menyorot sejarah lampaunya, tetapi membicarakan tentang masa depan parti dalam suasana dan situasi zaman yang berubah. Meneroka perjuangan UMNO dalam era yang berbeza berbanding semasa ia ditubuhkan pada 1946, pastinya menawarkan pelbagai pandangan dan saranan agar parti keramat ini kekal relevan dan terus teguh pada kedudukannya.

Meskipun UMNO adalah parti yang ‘kaya’ dari segi pengalaman perjuangan dan meneraju pemerintahan negara, UMNO masih perlu menentukan agenda dan strategi. UMNO tidak boleh hanya bersikap defensif dan sekadar menjawab isu yang mendatang, sebaliknya menjadi proaktif dengan menentukan agenda dan strategi parti untuk terus ke hadapan dengan lebih berkeyakinan.

Tidak dinafikan, banyak masa parti digunakan untuk menjawab pelbagai isu dan tohmahan parti lawan, lebih-lebih lagi melalui ‘serangan’ media sosial yang tidak mudah dikawal. Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama, UMNO perlu bergerak jauh lebih pantas dengan mengemukakan agenda dan strategi yang lebih jelas agar dasar perjuangan parti dapat diungkapkan demi kepentingan rakyat. Lebih-lebih lagi, agenda dan strategi parti yang baik bukan memberi manfaat kepada ahli UMNO semata-mata, tetapi kemajuan orang Melayu di negara secara keseluruhannya.

Kemajuan orang Melayu perlu menjadi agenda dan strategi UMNO. Hanya orang Melayu yang maju, mereka dihormati dan tidak dipandang rendah oleh pihak lain. Dalam hal ini, saya tertarik dengan Agenda Melayu Maju yang digerakkan oleh UMNO Johor bagi memastikan kedudukan orang Melayu terus kukuh dan terpelihara. Malah, Agenda Melayu Maju ini menjadi tema penting dalam Konvensyen UMNO Johor yang sedang berlangsung pada hari ini hingga 11 November 2016.

Menurut Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Agenda atau Gagasan Melayu Maju ini wajar menjadi satu jalan baharu bagi UMNO, khususnya UMNO Johor. Jalan yang mendukung pemikiran dan citra yang baharu, serasi dan sesuai zaman. Sewaktu berucap dalam Seminar Komemoratif UMNO 70 Tahun pada bulan September yang lalu, Khaled yang juga Menteri Besar Johor menawarkan Agenda Melayu Maju atas beberapa faktor. Saya petik sedutan ucapan beliau dalam seminar tersebut yang dikira sangat penting untuk direnung dan difahami.

“Pertama, kerana telah tiba masanya agenda Melayu itu disemak. Memastikan sekadar hak, kepentingan dan kelangsungan bangsa Melayu itu terjamin sangat tidak memadai. Kita memerlukan naratif baharu bagaimana menjadi bangsa yang lebih maju, progresif dan berkebolehsaingan. Kedua untuk mengembalikan semula hubungan dan rasa dekat orang Melayu kepada UMNO. Bahawa UMNO itu wujud untuk memajukan bangsa Melayu. Menjadikan mereka berdaya saing.

Ketiga, kerana UMNO bukan sekadar pergerakan politik. Sebaliknya, UMNO, semenjak penubuhannya, adalah gerakan pembaharuan untuk bangsa. Dan ia mesti terus diperkukuhkan menjadi gerakan pembaharuan, usaha dan amal demi kemajuan orang Melayu. Hanya melalui usaha, kemajuan akan tercapai. Hanya melalui kemajuan, Melayu menjadi kuat.

Keempat, untuk memastikan UMNO terus kekal memimpin Malaysia. Kerana tanpa agenda yang progresif, UMNO pasti akan kehilangan keunggulannya. Yakinlah, betapa agenda Hidup Melayu yang kita jeritkan selama ini, memerlukan suatu rekayasa. Suatu penjenamaan semula. Kerana Melayu yang hidup, yang punya hak, tetapi tanpa kemajuan, adalah Melayu yang serupa tidak mempunyai apa-apa.” (Sumber: Buku Pengislahan UMNO oleh Mohamed Khaled Nordin, Koleksi Ucapan Politik, halaman 5).

Jika dihadam petikan ucapan di atas, agenda Melayu Maju ini sangat penting dan kritikal bagi UMNO. UMNO tidak boleh lagi bersifat romantisme dengan perjuangan lampau sebaliknya menentukan strategi yang tepat untuk memastikan orang Melayu menjadi bangsa yang maju, progresif dan boleh bersaing. Hanya dengan kemajuan, orang Melayu akan terus dihormati. Namun perlu diingatkan bahawa kemajuan ini bukanlah sekadar kemajuan dari segi fizikal dan material, tetapi melewati kemajuan akal dan keperibadian orang Melayu yang menampilkan budaya tinggi dan pemikiran rasional.

Persaingan politik yang tinggi dan faktor politiking melampau seringkali menghambat sikap rasional khususnya orang Melayu. Sikap tidak rasional ini jika tidak diuruskan akan membawa kepada tafsiran politik yang dangkal dan salah. Saya percaya, melalui penentuan agenda dan strategi UMNO yang tepat, ia boleh menjentik dan mempengaruhi pemikiran orang Melayu agar bersikap lebih rasional tentang masa depan mereka.

Kejayaan UMNO adalah apabila parti itu mampu meyakinkan rasional orang Melayu tentang masa depan mereka bersamanya. Dalam kata lain, orang Melayu berasa selamat bahawa UMNO akan terus memperjuangkan kepentingan dan melonjakkan kemajuan mereka. Ini hanya boleh dilakukan melalui agenda dan strategi Melayu Maju seperti yang dijelaskan sebelum ini. UMNO perlu memikirkan perkara ini secara serius untuk terus relevan dalam landskap politik masa kini.

Usaha UMNO Johor menawarkan Agenda Melayu Maju ini perlu disokong dan dicontohi kerana ia bukan sahaja untuk manfaat ahli UMNO, tetapi orang Melayu secara keseluruhannya. Melalui agenda seperti Agenda Melayu Maju, ia bukan sekadar menjangkakan kemajuan fizikal dan material, tetapi lebih penting ialah rasional orang Melayu boleh dipulihkan untuk terus yakin dan percaya dengan UMNO. Agenda besar ini satu perjuangan yang panjang, berliku dan mencabar, tetapi ia harus bermula pada satu titik. Mulakan sekarang.

Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top