69 Usahawan Terima Bantuan PIJ

SERI ALAM, 9 Nov – Seramai 69 orang usahawan berjaya menerima bantuan masing-masing bernilai RM5,000 dan RM500 setiap seorang melalui Bantuan Usahawan Perbadanan Islam Johor (PIJ).

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata bantuan bagi usahawan Parlimen Pasir Gudang itu membabitkan peruntukan berjumlah RM115,500.

“Penerima bantuan terdiri daripada 18 orang penerima Bantuan Usahawan Belia bernilai RM5,000 seorang, manakala 51 orang pula menerima Bantuan Penjaja Kecil bernilai RM500 seorang.

Img_20161109_004321

“Semua bantuan tersebut tidak perlu dibayar balik kerana ia sebagai tanda sokongan Kerajaan Negeri kepada usahawan terlibat untuk mempertingkatkan usaha mereka dalam bidang perniagaan dan keusahawanan,” katanya.

Majlis Penyerahan Bantuan tersebut telah berlangsung di Der’ Cabin Seri Alam, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor, Shukri Mohd Masbah.

Mohamed Khaled turut memuji langkah yang dilaksanakan oleh pihak PIJ itu sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Penglibatan lebih ramai usahawan
dalam bidang itu akan turut sama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Johor yang membawa kepada kesejahteraan rakyat.

“Ini terbukti apabila pertumbuhan ekonomi negeri adalah lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi negara. Malah, negeri Johor juga telah berjaya menjadi kuasa ekonomi baru dan menjadi negeri terbaik berbanding negeri lain,” katanya.

Beliau turut berkata usaha tersebut juga dapat menggalakkan budaya Keusahawanan Johor.

“Budaya keusahawanan perlu terus dipertingkat bagi memastikan negeri akan terus membangun dan manfaat pembangunannya dapat dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Malah saya turut mengalu-alukan dan memberi sokongan terhadap usaha itu dalam membantu mengatasi jurang dalam masyarakat,” katanya. Jauhar

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top