JOHOR BAHRU, 10 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussin hari ini menyifatkan UMNO Johor mempunyai tugas dan peranan yang sangat besar kerana masa depan UMNO sebenarnya berada di negeri ini kerana Johor adalah nadi dan nafas UMNO.
“Jika UMNO ditolak di negeri Johor, maka UMNO akan ditolak di seluruh Negara kerapa apa lagi yang boleh dipertahankan jika UMNO ditolak di negeri kelahirannya sendiri.
Jangan berpeluk tubuh, jangan terbawa kejayaan lepas, jangan lagi berimaginasi dengan kuasa yang kita ada, kerana kita akan kehilangnya jika kita tidak bekerja keras.
Untuk kita Berjaya, kerja keras sahaja tidak memadai, kita perlukan strategi. Kita elakkan kekeliruan, pecah-belah dan jangan bercakaran sesama sendiri,” ujarnya ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO Johor di sini malam ini.
Beliau turut mengingatkan ahli UMNO bahawa pilihanraya umum yang akan datang merupakan pilihanraya yang paling sengit dalam sejarah UMNO. Pilihanraya Umum ke-14 menjadi pilihanraya yang akan memutuskan sama ada UMNO akan kekal berkelansungan sebagai parti memerintah.
“Saya bukan menakut-nakutkan, tetapi mahu kita menerima gambaran dan reality yang sebenar agar dengan gambaran yang betul, kita akan dapat bertindak dan membuat persediaan yang sewajarnya.
Usaha memastikan kemenangan UMNO dalam PRU14 mesti bermula di Johor, pada hari ini. Johor mesti menjadi inspirasi untuk UMNO di seluruh Negara, inspirasi bahawa ia bukan sahaja mampu mengekalkan kuasanya, malah memerintah dengan lebih cemerlang.
Oleh itu, seluruh jentera pilihanraya mesti diaktifkan dari sekarang,” ujarnya yang juga Ketua UMNO bahagian Sembrong