2700 Jemaah Haji Johor Hadiri Kursus Persiapan Akhir

PASIR GUDANG, 22 Julai – Seramai 2,700 jemaah haji menghadiri Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji 1437H/2016M Peringkat Negeri Johor, yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di Stadium Tertutup Pasir Gudang, hari ini.

Majlis perasmian kursus itu, yang akan berlangsung selama dua hari sehingga Sabtu, 23 Julai 2016, telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

Ia merupakan kursus terakhir dalam memastikan jemaah haji memiliki pengetahuan yang lengkap berkaitan ibadah haji, selain memberikan maklumat terkini sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.

Bakal jemaah diberikan latihan amali melaksanakan ibadah haji secara simulasi, seperti bertawaf, sai’e, melontar jamrah serta beribadah secara berjemaah.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled ketika ditemui media berkata, kursus yang dijalankan TH telah merangkumi segala bentuk persiapan sebelum, semasa dan selepas ibadah haji dalam memastikan perjalanan yang lancar untuk jemaah.

“Saya melihat TH telah memberikan perkhidmatan yang terbaik. Saya pernah melihat jemaah dari negara lain yang terbiar, dan tidak tentu arah di sana, selain tidak memiliki jadual perjalanan yang teratur.

“Jadi jemaah negara kita boleh yakin bahawa setiap perjalanan ibadah mereka telah lengkap, kerana mereka telah diberikan ilmu pengetahuan yang lengkap dan pendedahan awal tentang perjalanan di sana”, katanya.

Latihan ini dijalankan dengan bimbingan dan tunjuk ajar oleh Pembimbing Ibadat Haji TH, yang dijalankan secara percuma.

Selain kursus ini, beberapa kursus lain turut dijalankan seperti Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji, dan Kursus Khas Haji bagi warga emas, dimana kesemua kursus merupakan sebahagian daripada tanggungan subsidi dan program tanggungjawab sosial korporat TH.

Bakal jemaah haji juga dinasihatkan untuk membuat persiapan seperti memantapkan stamina melalui aktiviti riadah dan kecergasan, penjagaan kesihatan melalui pemakanan dan pengambilan vitamin serta penyediaan barangan keperluan yang mencukupi.

Penerbangan pertama jemaah dari negeri Johor akan berlepas pada 4 Ogos 2016, dan terakhir pada 5 September 2016, dari lapangan terbang Senai, yang kemudiannya akan melakukan transit di KLIA sebelum bertolak ke Tanah Suci.

Majlis turut dihadiri oleh, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz; Pengarah Tabung Haji Negeri Johor, Dato’ Mohammad Mokhzani Mukhtar; Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji, Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top