PASIR GUDANG, 23 Julai – Seramai 180 pelajar yang berada di dalam tiga zon pentadbiran Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) iaitu Masai, Taman Rinting 1 dan Taman Rinting 2, bakal menikmati kemudahan Pusat Tuisyen Komuniti yang dijalankan secara percuma, yang terletak di Gelam, Balau dan Meranti.
Pusat tuisyen ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial Yayasan Pasir Gudang (YPG) dalam membantu pelajar yang datang dari golongan keluarga kurang berkemampuan dan pelajar yang lemah dalam matapelajaran.
Tiga Pusat Tuisyen Komuniti ini memberi penekanan kepada pelajar-pelajar yang bakal mengambil peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan telah mula beroperasi sejak tahun 2015.
Pusat tuisyen ini merupakan tambahan kepada enam pusat tuisyen sedia ada yang digiatkan oleh YPG iaitu di Cendana, Kampung Pasir Putih, Taman Air Biru, Sungai Tiram Tebrau, Desa Rakyat Perdana dan Bandar Seri Alam yang menjadikan jumlah keseluruhan Pusat Tuisyen Komuniti sebanyak sembilan buah.
Kos operasi bagi sembilan pusat tuisyen ini dijangkakan mencecah RM200,000 setahun yang ditanggung sepenuhnya oleh YPG.
Majlis perasmian semalam disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim.