BATU PAHAT, 19 Mei- UMNO perlu mengangkat politik Islam sebagai agenda masa depannnya jika ingin parti politik terbesar orang Melayu itu terus berkelangsungan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, UMNO mesti membuka ruang seluasnya untuk mendakap politik Islam sebagai lebaran baru perjuangannya. Bukan sekadar menjaga kepentingan dan melindungi hak Melayu.
“Setelah 70 tahun, kita tidak mahu Islam hanya pelengkap kepada perjuangan dan ideologi nasionalis kita.
“Kita mahu, ideologi nasionalisme kita yang menjadi instrumen mempersembahkan Islam dengan sebaik-baiknya.
“Maka jika UMNO ingin berkelangsungan, maka UMNO mesti mengangkat politik Islam sebagai agenda masa depannya,” katanya.
Tambah beliau, politik Islam itu bermaksud politik yang mendukung demokrasi tetapi dipandu dengan kekuatan tauhid. Politik yang progresif, tetapi mendukung dan memuliakan syiar Islam.
“Politik yang menganjurkan pemikiran berkemajuan dan disandarkan dengan nilai-nilai keadilan, pertanggungjawaban, keterangkuman dan kesaksamaan. Nilai dan pegangan Islam secara total dan syumul.
“UMNO mesti menjadikan Islam dan politik yang kita perjuangkan, dan dukung, membuahkan sebuah masyarakat, dan sebuah negara yang benar–benar progresif,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Bacaan Yasin,Tahlil dan Doa Selamat sempena sambutan Ulangtahun UMNO ke 70 di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Air Hitam di sini.
Beliau yang juga Menteri Besar, berkata, UMNO amat sinonim di Johor kerana kedua-duanya adalah entiti yang saling mengukuhkan dan atas dasar itu UMNO harus dipertahankan di negeri ini.
“Kita di Johor ini akan sentiasa mempunyai perasan yang sedikit berbeza dengan orang lain apabila bercakap tentang UMNO. Kita akan ada sedikit rasa sensitif, rasa bangga dan rasa kepunyaan apabila kita sebut dan bercakap tentang UMNO.
“Barangkali kerana, di bumi Johor inilah, para pendiri bangsa semasa generasi nenek moyang kita dahulu menubuhkan UMNO. Di bumi Johor inilah UMNO dikembangkan dan diberi penghormatan.
“Jadi, kita tidak boleh lari daripada menerima dan menggalas peranan dan tanggungjawab untuk terus mempertahankan parti ini. Dengan cara kita, cara Johor.
“Malah, kita harus tampil dan bangkit memberi peringatan kepada seluruh orang Melayu untuk bersama-sama dengan kita mempertahankan UMNO. UMNO yang selama ini mempertahankan kita.
“Maka kita berkewajipan untuk menghidup-hidupi UMNO ini. Agar ia terus mendatangkan kebaikan pada bangsa dan agama. Dan jangan sesekali kita mencari penghidupan dengannya,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menyeru ahli-ahli UMNO agar terus menabur bakti kepada parti demi agama dan bangsa.
Katanya, tiada tarikh akhir atau titik henti dalam berbakti kepada agama bangsa dan negara.
“Berbakti itu bukan sahaja pada masa kita muda. Dan apabila sudah berumur, kita boleh melepaskan tanggungjawab kita untuk terus menyumbang. Itu adalah pemikiran yang salah.
“Kita harus sentiasa memberi kepada agama dan bangsa. Biarpun usia kita sudah lanjut. Biarpun sudah tidak berjawatan. Dan biarpun hasil pemberian kita itu tidak akan sempat pun untuk kita lihat dan nikmati. Itu semua tidak penting dan tidak seharusnya menjadi pertimbangan.
“Tuan-tuan, saya benar-benar ingin menyeru. Dengan penuh rasa insaf dan rasa rendah diri. Selagi nyawa kita dikandung badan, berpenat-penatlah untuk agama dan bangsa, katanya.
Hadir sama ialah Speaker Dewan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Md Jais Sarday, Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Samsol Bari Jamali dan exco-exco Kerajaan Negeri.
-Jauhar-