Tarikh keramat 16 Mei setiap tahun pasti menggamit memori tatkala mengenang keluhuran budi guru-guru yang tentunya sangat signifikan dalam hidup kita.
Kesabarannya, kesungguhannya yang tak putus-putus dalam memberi tunjuk ajar kepada anak-anak watan tanpa mengenal erti penat lelah dan dengan segala jerih payah mendidik anak-anak muridnya, adalah manifestasi ketinggian dan keihklasan seorang insan bernama guru.
Setiap pedoman serta panduan yang diberikan oleh guru-guru kita sudah pastinya menjadi bekalan buat kita sepanjang zaman.
Dalam mendepani cabaran zaman demi sebuah negara yang sejahtera dan bahagia, peranan guru pastinya bukan hanya tinggal di bilik-bilik darjah atau di ruang sekolah.
Gurulah pemimpin pendapat, pakar rujuk setempat dan cendekiawan masyarakat yang selalu di sisi, mendengar dan mencerahkan keluh kesah dan kerumitan anak-anak didiknya.
Berilah pencerahan yang hak dan hakiki agar kebenaran dijelmakan buat seluruh watan.
Jasa dan pengorbananmu guru tiada yang dapat membalasnya.
Maka jadilah insan yang sentiasa mengenang dan berusaha membalas kebaikan itu, kerana Guru Pembina Negara Bangsa.
Terima kasih Cikgu!
MOHAMED KHALED NORDIN