JOHOR HARAP EMPANGAN DIBINA DALAM RMK-11

KOTA TINGGI 24 Mei – Sebanyak RM660 juta diperlukan untuk membina empangan di Hulu Sedili Besar bagi menampung keperluan air di daerah Pasir Gudang dan Johor Bahru yang dijangka menghadapi krisis sekiranya tiada tindakan segera diambil.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berharap Kerajaan Persekutuan dapat membuat keputusan segera supaya projek berkenaan dapat dilaksanakan dalam Rancang­an Malaysia Kese­belas (RMK-11).

Menurutnya, kerajaan negeri telah mengemukakan perkara itu kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi membangunkan sumber air di Johor bagi memenuhi permintaan pembangunan pelaburan pada masa akan datang.

Katanya, pihaknya telah me­nyatakan bahawa peruntukan yang diperlukan untuk membina empangan di Hulu Sedili Besar bernilai lebih RM320 juta.
“Sebanyak RM320 juta diperlukan untuk membangunkan sistem saluran air mentah tersebut dari empangan itu ke Sungai Johor dan juga sistem saluran air dari Empangan Johor ke Sungai Sedili.

“Pembangunan ini terma­suk kerja-kerja berkaitan seperti membina rumah pam dan loji-loji yang belum dibina dengan keseluruhan kos berjumlah RM660 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Keusahawanan dan Karnival Modal Insan Kejora (Xpura Minda) 2016 di Dewan Bandaran Kejora, Bandar Penawar, dekat sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Ir. Syed Sis Abd Rahman dan Pengurus Besar Kejora, Norazman Othman.

Hasni berkata, kerajaan nege­ri baru sahaja menerima peruntukan sebanyak RM106 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina saluran perpindahan air mentah dari sistem bekalan Projek Air Mentah Rapid (Pamer) ke Sungai Johor sebagai langkah jangka pendek mengatasi masalah air yang berlaku.

Kerajaan negeri juga sedang merancang memindahkan air dari Sungai Pincuk ke Empangan Labong, Mersing ekoran kebimbangan petani di kawasan berke­naan yang menyatakan tidak d­apat memulakan tanaman padi kerana sawah kering. – UTUSAN MALAYSIA

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top