Rizab Melayu Johor meningkat

KOTA ISKANDAR: Kedudukan kewangan Johor semakin kukuh apabila Rizab Tunai Kerajaan Negeri mencatatkan jumlah RM2.3 bilion sehingga 31 Disember 2014 berbanding RM1.7 bilion pada akhir tahun 2013.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM1,842.25 juta adalah merupakan wang tunai manakala RM467.19 juta merupakan lain-lain pelaburan.

“Selaras dengan prestasi kewangan negeri itu, Kerajaan Negeri melihat perlunya dimohon peruntukkan tambahan bagi memperkemaskan lagi penutupan akaun Kerajaan Negeri bagi tahun 2014.

“Permohonan peruntukan tambahan ini bukanlah sesuatu perkara yang asing, sebaliknya ia turut dilakukan di negeri-negeri lain di negara ini termasuk di peringkat Kerajaan Persekutuan. Ia dibuat selepas mengambil kira situasi ekonomi, keperluan rakyat, perubahan teknikal serta keperluan pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor, di sini hari ini.

Katanya lagi, hasil Kerajaan Negeri pada 2014 adalah sebanyak RM1.54 bilion, 45 peratus lebih tinggi berbanding jumlah anggaran hasil yang hanya mencatatkan jumlah sebanyak RM1.064 bilion.

“Dengan mengambil kira Tambahan Peruntukan ketiga yang akan dibentangkan berjumlah RM86.0 juta, maka jumlah perbelanjaan mengurus untuk tahun 2014 berjumlah RM1,168.83 juta. Untuk itu, bagi tahun 2014, akaun hasil disatukan masih mencatatkan lebihan sebanyak RM374.77 juta. Lebihan ini sekali gus meningkatkan jumlah terkumpul Akaun Hasil Disatukan pada akhir tahun 2014 kepada RM860.02 juta berbanding RM485.25 juta pada 31 Disember 2013.

“Ini merupakan tahun kelima berturut-turut sejak tahun 2010 yang menunjukkan lebihan semasa dalam akaun semasa hasil disatukan,” katanya.

Pada persidangan itu, Dewan Negeri juga sebulat suara bersetuju menaikkan elaun bulanan wakil rakyat kepada satu kadar bersamaan gred 54 berkuatkuasa 1 Januari 2015.

Kenaikan itu membolehkan Ahli-Ahli Dewan Negeri menerima elaun bulanan kira-kira RM9,000 sebulan berbanding RM5,000 sebelum ini.

Jelas beliau lagi, kenaikan itu selari dengan prestasi kewangan Kerajaan Negeri yang membanggakan kebelakangan ini.

“secara perbandingannya, kenaikan elaun Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor ini tidak jauh bezanya dengan Negeri Sembilan (RM8,954), Sabah (RM7,950), Perak (RM8,000) malah jumlahnya lebih rendah jika hendak dibandingkan dengan Sarawak (RM15,000) serta Selangor (RM11,250),” katanya.

Sumber : Jauhar

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top