Pasar tani membantu mengurangkan kos hidup

JOHOR BAHRU: Kewujudan pasar-pasar tani di negeri ini memberi banyak impak besar  kepada rakyat Johor dan kewujudannya perlu dikekalkan.

Menteri besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, tanpa pasar tani, akan timbul masalah berkaitan pemasaran produk-produk pertanian.

“Penting untuk pasar tani terus kekal di Johor. Kerana tanpanya sudah tentu kita akan mengalami masalah meningkatkan pasaran produk-produk pertanian, perladangan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, pasar tani juga menjadi medan mengasuh rakyat menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Selain itu, beliau berkata, kewujudan pasar tani juga dapat membantu masyarakat berhadapan dengan soal kos sara hidup yang tinggi.

“Kita tidak dapat nafi hakikat pasar tani adalah usaha yang kerajaan lakukan yang  banyak membantu masyarakat setempat kurangkan bebanan kesan kos sara hidup tinggi.

“Dengan faktor-faktor itu sudah tentulah pasar tani perlu terus kekal dan akan mendapat sokongan beterusan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Malam Gemilang Sempena 30 Tahun Pasar Tani (1985-2015) di Hotel M-Suites, di sini.

Mohamed Khaled turut mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk kerja penambahbaikan pada tapak pasar tani kekal yang akan dibina di Jalan Taruka bagi menempatkan semula peserta Pasar Tani Mega Larkin di kawasan letak kereta Stadium Larkin.

“Bayaran kepada pihak berkuasa tempatan juga saya tidak nampak kenapa tidak boleh diberi pengecualian kerana saya faham cabaran yang dihadapi selain kita menghargai peranan pasar tani.

“Kerajaan negeri menyokong perpindahan ke lokasi baru dan kita akan usahakan bantuan supaya ia menjadi kebanggaan kita,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed; Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin; Pengarah FAMA negeri, Faridul Atrash Md. Mokri dan Pengerusi Jawatankuasa Peserta Pasar Tani negeri, Sapawi Johari.

Sumber : Jauhar

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top