Tanamlah Sifat Kasih, Sayang dan Cinta Kepada Tanah Air

Esok genaplah 57 tahun kita meraikan Hari Kemerdekaan. Setiap kali tibanya Hari Kemerdekaan, kita pasti akan terkenang sejarah negara yang satu ketika dahulu dijajah bukan sahaja dari segi pentadbiran kerajaannya, tetapi juga minda dan akal rakyatnya. Rakyat Malaysia, sebelum tibanya detik kemerdekaan, tidak bebas seperti hari ini. Malah, hak rakyat sebagai manusia juga ada kalanya disekat dan dinafikan.

Alhamdulillah, berkat perjuangan para pendiri bangsa, semua detik hitam itu telah pun berlalu pergi. Hari ini, kerana perjuangan merekalah Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah negara yang sedang berkembang pesat dan menuju ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Lebih penting dari itu, kemerdekaan yang dikecapi ini telah memberi nikmat keamanan dan kemakmuran kepada rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan kepercayaan agama.

Namun begitu, ingatlah bahawa sambutan Hari Kemerdekaan yang dianjurkan pada setiap tahun ini bukan hanya untuk mengenang kembali detik-detik perjuangan menuntut kemerdekaan, tetapi apa yang lebih utama adalah keupayaan mengisi ruang kemerdekaan itu sendiri. Salah satu daripada mengisi ruang kemerdekaan itu ialah dengan menanam sifat kasih, sayang dan cinta kepada tanah air. Dan sifat kasih, sayang dan cinta kepada tanah air itu bukan setakat hanya mengibarkan bendera. Ia tidak mencukupi dengan hanya meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dengan perarakan yang gah dan sekadar riuh rendah serta sorak gembira laungan kemerdekaan. Hakikatnya rasa merdeka dan kasih, sayang dan cinta kepada negara itu harus berakar teguh di dalam fikiran dan sanubari kita dengan kegigihan dan rasa kepunyaan yang mendalam pada tanah air.

Justeru, marilah kita bersama-sama bersatu menanam sifat kasih, saya dan cinta di kalangan kita semua agar kemerdekaan negara dapat dapat terus dipertahankan. Bersama-samalah kita pastikan generasi akan datang juga dapat mewarisi nikmat kemerdekaan yang penuh keamanan dan kemakmuran ini. Insya-Allah. Ingatlah, Malaysia ini adalah negara kita serta tanah tumpahnya darah kita dan di sini jugalah lahirnya sebuah cinta.

Marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan negara kita senantiasa berada dalam inayah dan rahmat Allah SWT, dijaga keselamatan dan keamanan dan di jauhi dari segala kehancuran serta kemusnahan. Kemerdekaan yang dikecapi lebih lima dekad yang lalu perlulah diisi dengan semangat patriotisme, pembangunan dari segenap aspek samada fizikal, mental dan spiritual dan dibangunkan dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Nilai-nilai cintakan negara seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban dan kesukarelaan, perlu dipertingkatkan bagi membentuk rakyat Malaysia yang patriotik dan bertanggungjawab kepada bangsa dan tanah air.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-57 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Merdeka. Merdeka. Merdeka.

MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI BESAR JOHOR

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top