YONG PENG 8 Feb. – Suara Hati Johor, hasil kajian kerajaan negeri berhubung keperluan rakyat negeri ini, akan dikeluarkan seawal bulan April, kata YAB. Dato’ Mohamed Khaled Nordin.
“Suara hati Johor sedang disusun Indeks Petunjuk Prestasi (KPI). Bulan empat atau lima kita akan lancar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Badan Perhubungan MCA Johor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden MCA merangkap Pengerusi Perhubungan MCA negeri, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan timbalannya yang juga Exco, Datuk Tee Siew Kiong.
Suara Hati Johor, satu inisiatif untuk merakyatkan kerajaan, adalah berdasarkan lima perkara iaitu perumahan, keselamatan, agama, infrastruktur dan ekonomi.
Kajian itu dijalankan dari 17 Jun hingga 24 Julai tahun lepas membabitkan sembilan penyelidik, tiga pegawai penyelidik dan 70 mahasiswa yang diuruskan oleh Universiti Teknologi Malaysia membabitkan peruntukan berjumlah RM200,000.
Terdahulu dalam ucapannya, YAB. berkata, Barisan Nasional (BN) Johor bersedia membantu MCA Johor untuk merangka strategi dalam mengembalikan kegemilangannya di negeri itu sekali gus merampas kembali kerusi yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Beliau berkata, BN Johor boleh membantu MCA dalam mengembalikan keyakinan kaum Cina kepada parti itu.
Menyentuh tentang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, Selangor, YAB. yang juga Pengerusi BN Johor berkata, BN Johor bersiap sedia untuk menghantar jenteranya bagi membantu calon BN dalam pilihan raya kecil itu. (Bernama)