JOHOR BAHRU 8 Feb : Johor menyambut baik penubuhan lebih banyak koperasi supaya rakyat di seluruh negeri berdaya usaha dalam aspek kehidupan, sosial dan penglibatan dalam bidang ekonomi.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Johor menikmati pertumbuhan ekonomi berterusan dan koperasi adalah instrumen yang berpotensi dalam memastikan rakyat tidak tercicir dan terlepas daripada manfaat yang ada.
“Peranan kerajaan adalah menjadi fasilitator dan pemudah cara untuk membangun keupayaan rakyat. Terserah kepada kita sama ada mahu mendapat manfaat daripadanya atau tidak. Pelbagai pendekatan dilakukan bermula dengan menetapkan dasar supaya negara membangun dan maju.
“Kita mahu penyertaan masyarakat dalam ekonomi supaya pengagihan dapat dilakukan. Penyertaan bukan sahaja dari segi kemampuan sendiri tetapi secara berkelompok supaya lebih ramai dapat menikmati kemajuan ekonomi termasuk di Iskandar Malaysia,” katanya demikan sempena pelancaran Koperasi Usahawan Muda Johor Darul Takzim (KUMJDT), di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Johor, Muridan Elias; Penasihat KUMJDT, Rohazam Shah Ahmad; Pengerusi KUMJDT, Zulkefli Ab. Manan dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Tan Cher Puk.
Menurut YAB, koperasi adalah institusi ketiga selepas sektor awam dan swasta yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta membolehkan anggota mendapat pelbagai manfaat.
Atas dasar itu, kata beliau, kerajaan negeri menggalakkan penubuhan koperasi dan kehadirannya pada pelancaran KUMJDT adalah untuk melihat sendiri perihal sebuah koperasi melibatkan penyertaan usahawan muda dari seluruh negeri ini.
“Nilai keusahawan, inovasi dan kreativiti adalah penting untuk berjaya dan berdepan segala kemelut dan cabaran yang dihadapi dunia dan masyarakat. Itu sebabnya kita tekankan nilai keusahawanan di kalangan anak-anak kita di universiti.
“Nama KUMJDT gah, kita berharap bukan sahaja orangnya tetapi perancangannya juga besar dan hebat supaya memberi manfaat kepada ahlinya serta seluruh negeri. Diharap melalui koperasi ini dapat memaksimumkan manfaat pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Menurut beliau, koperasi tersebut juga dapat memainkan peranan sebagai pemberi pinjaman supaya ahlinya tidak meminjam dengan ah long atau ceti haram.
Dalam pada itu, YAB. turut menggalakkan koperasi sedia ada melibatkan diri dalam sektor rantaian nilai dan pemasaran supaya dapat melipatgandakan keuntungan yang akhirnya dapat dikongsi bersama.