Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, berkesempatan menghadiri majlis makan tengah hari bersama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang selesai mengadakan mesyuarat pertama mereka di Kementerian Pertahanan.
Sebelum ini, pada 27 April lalu, beliau telah merasmikan Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM di Bangi. Penubuhan gabungan ini adalah susulan keputusan Majlis Veteran Kebangsaan pada tahun 2024 yang melibatkan 116 persatuan induk dan 405 cawangan, menjadikan keseluruhan 521 entiti.
Menurut Khaled Nordin, dengan jumlah persatuan yang begitu besar, gabungan ini penting untuk memastikan suara veteran dapat disatukan, disusun dan dibawa dengan lebih berkesan. “Ia juga menjadi wadah untuk seluruh persatuan veteran bergerak seiring, membincangkan pelbagai isu dan cabaran, serta merancang masa hadapan warga veteran secara bersama,” katanya, sambil berharap usaha ini akan terus mendapat sokongan semua pihak demi kesejahteraan warga veteran ATM.
Sumber: Facebook rasmi Khaled Nordin — https://www.facebook.com/MohamedKhaledNordin


