Meneruskan siri lawatan ke kem dan pangkalan di seluruh negara, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, mengadakan lawatan kerja ke Kem Ulu Tiram, Johor.
Lawatan itu dimulakan dengan taklimat mengenai peranan dan pengoperasian Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) dalam memperkasa latihan dan kursus kepakaran tempur infantri bagi meningkatkan kesiapsiagaan serta keupayaan operasi anggota. Beliau turut menerima taklimat daripada Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD) mengenai pengoperasian pasukan serta cabaran semasa yang dihadapi di lapangan.
Perbincangan turut menyentuh pelbagai perkara berkaitan kesejahteraan warga pertahanan dan keluarga mereka, termasuk pembangunan dan penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), kemudahan kesihatan serta penambahbaikan infrastruktur di dalam kem. Menurut Khaled Nordin, pandangan dan maklum balas yang dikongsikan amat penting bagi memastikan setiap usaha yang dilaksanakan dapat memenuhi keperluan sebenar warga di lapangan.
Sumber: Facebook rasmi Khaled Nordin — https://www.facebook.com/MohamedKhaledNordin


