Hari ini, seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan rejim Zionis telah selamat tiba di Malaysia. Mereka berusia antara 8 bulan hingga 62 tahun dan telah dipindahkan ke Malaysia menggunakan 2 buah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diterbangkan dari Kaherah, Mesir. Mereka turut diiringi oleh 86 waris.
Mangsa-mangsa yang cedera telah ditempatkan di pusat rawatan yang disediakan oleh Hospital Angkatan Tentera Malaysia untuk menerima rawatan segera. Seramai 75 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam misi ini, terdiri daripada petugas kesihatan, krew penerbangan dan kumpulan pengurusan. Mereka disokong oleh 295 lagi anggota ATM lain di Malaysia.
Misi kemanusiaan ini diusahakan oleh Kerajaan Malaysia atas pertimbangan kemanusiaan dan untuk menzahirkan kebersamaan warga Malaysia kepada semua mangsa kekejaman serta penjajahan ke atas negara Palestin. Misi ini juga menegaskan pendirian Malaysia yang sentiasa menentang keras segala tindakan bersifat pencerobohan, dasar aparteid, pembunuhan beramai-ramai serta penafian hak asasi oleh para penjenayah perang.
Ucapan terima kasih dirakamkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan misi ini, termasuk Kerajaan Malaysia, Mesir, Palestin, Angkatan Tentera Malaysia dan semua pengamal media. Diharapkan sumbangan dan usaha kecil ini dapat meringankan bebanan mereka yang sedang diuji dengan penganiayaan dan penindasan. Pada hari yang penuh keberkatan ini, rakyat Malaysia diseru untuk terus berdoa agar keamanan dan kemerdekaan segera berpihak kepada Palestin.