Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru seluruh sayap UMNO untuk memainkan peranan aktif dalam menyuburkan parti dengan usaha masing-masing. Beliau juga berharap Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO dapat menawarkan idea kreatif termasuk penyelesaian kepada isu-isu utama kerana anak muda memerlukan pencerahan.
“Kita harus menawarkan idea, solusi atau penyelesaian sebagai alternatif kepada isu-isu utama masyarakat yang berhadapan dengan berbagai masalah dan cabaran. Anggota sayap UMNO juga merupakan golongan muda yang lebih memahami keadaan hari ini dan memainkan peranan dengan memberi pencerahan kepada isu-isu yang membelenggu masyarakat. Kita perlu bersuara mengenai perkara-perkara semasa dan mesti proaktif, sentiasa mengemukakan pandangan, saranan serta jalan penyelesaian kepada perkara-perkara yang dihadapi oleh masyarakat dan juga negara. Hari ini persaingan adalah berasaskan kepada idea dan pemikiran.”
Beliau menyatakan demikian semasa merasmikan mesyuarat serentak perwakilan Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Seri Izudin Ishak, Timbalan Ketua, Datuk Ahmad Fauzi Zahari, dan kepimpinan bahagian serta ahli parti UMNO Setiawangsa.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu juga berharap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa dapat menarik orang-orang muda untuk keterlibatan mereka bersama-sama UMNO.
“Pemuda dan Puteri khususnya mesti mempunyai agenda untuk orang muda. Mereka mesti dipikat dengan cara baru, lebih segar, lebih selari dan menangkap pemikiran orang muda yang hari ini sebenarnya tidak berminat dengan politik kepartian. Ramaikan golongan profesional dan mendekati NGO, aktivis dan juga gerakan sivil. Ini bermakna UMNO melalui sayapnya, mesti membangunkan keupayaan mereka. Kita mesti bersedia ‘friendly’, bersifat terbuka kepada NGO dan aktivis masyarakat. Kita mesti mengambil pendekatan bahawa mereka bukan pesaing dan jangan menjauhi mereka, tetapi mereka adalah perlengkap kepada perjuangan kita.”
Ahli Parlimen Kota Tinggi itu juga menggesa sayap UMNO untuk maksimumkan penggunaan media sosial bagi meningkatkan capaian serta imej parti, khususnya di Parlimen Setiawangsa. Menteri Pertahanan itu juga menekankan bahawa imej pemimpin-pemimpin bahagian perlu ditingkatkan supaya rakyat tahu dan kenal pemimpin UMNO, agar kerja-kerja kebaikan yang dijalankan dapat mempengaruhi masyarakat dan meningkatkan sokongan terhadap UMNO.