Pemuda UMNO Johor menyifatkan tindakan AMANAH Kluang yang menuntut untuk bertanding di kerusi DUN Mahkota susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain sebagai gelojoh dan tamak.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata tindakan AMANAH Kluang membuat tuntutan secara terbuka itu juga dilihat langsung tidak menghormati sensitiviti keluarga Sharifah Azizah yang baru meninggal dunia akibat pendarahan dalaman.
“Sikap gelojoh dan sifat tamak yang dipamerkan pimpinan AMANAH Kluang hanya menzahirkan kiblat kuasa, tanpa meletakkan sempadan nilai simpati dalam amalan mereka berpolitik.
Seharusnya pimpinan AMANAH menunjukkan contoh baik dengan menghormati sensitiviti keluarga dan waris (Sharifah Azizah) dengan tidak secara terbuka membuat desakan secara tergopoh-gapah.
Terdahulu, Ketua AMANAH Kluang, Mohd Zuhan Mohd Zain menuntut parti itu untuk diberi laluan bertanding pada PRK DUN Mahkota yang akan diadakan nanti.
Katanya, tuntutan itu dibuat kerana kerusi itu pernah dimenangi AMANAH pada PRU14 serta mendakwa Pakatan Harapan (PH) dipinggirkan dalam pentadbiran kerajaan Johor.
Sementara itu, Azleen yang juga adalah Ketua Pemuda UMNO Bhgn Pasir Gudang berkata, sebarang tuntutan perlulah dilakukan secara perbincangan dan bukannya secara tergopoh-gapah bagi mengukuhkan hubungan semua parti yang membentuk kerajaan perpaduan.
Kesepakatan semua pimpinan di setiap peringkat kerajaan perpaduan seharusnya menjadi asas dalam usaha kita sama-sama mendapat kepercayaan dan keyakinan seluruh rakyat, katanya.