Elaun Sara Hidup bagi 24,729 pelajar tajaan KPT akan dinaikkan pada tahun depan

Terdapat 24,729 pelajar tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menerima kenaikan Elaun Sara Hidup (ESH) mulai tahun depan. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan kenaikan kadar ESH ini akan memberi manfaat kepada pelajar yang sedang dan akan ditaja dengan implikasi kewangan sebanyak RM30.78 juta setahun. Beliau berkata, ketetapan terbaharu ini melibatkan kenaikan kadar ESH sebanyak 15% kepada pelajar sarjana dan PhD sedia ada dan baharu luar negara di bawah Program MyBrainScience.

Selain itu, kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu di United Kingdom (UK) akan diseragamkan dan tidak lagi mengikut kawasan memandangkan perbezaan indeks kos sara hidup di antara kawasan-kawasan yang berlainan. Manakala, kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu di Amerika Syarikat pula akan diseragamkan daripada tiga kadar kepada dua kadar sahaja.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang iaitu Dato Seri Mohamed Khaled juga berkata, KPT akan turut menaikkan kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu bagi program-program penajaan dalam negara iaitu sebanyak RM100 sebulan. Jelasnya lagi, kenaikan ini akan melibatkan penerima Biasiswa Atlet Cemerlang IPT, Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik, Biasiswa Tokoh Siswa, Dermasiswa B40 TVET dan Program MyBrain 2.0.

Sementara itu, katanya, KPT juga akan menyeragamkan ESH pelajar sedia ada dan baharu kepada hanya satu kadar mengikut peringkat pengajian iaitu Diploma (RM730), Ijazah Sarjana Muda (RM800) Sarjana dan PhD (RM1,000). Bagaimanapun, katanya, penyeragaman ini tidak melibatkan program MyBrainScience kerana kadar ESH sedia ada program tersebut adalah lebih baik daripada program-program lain sedia ada.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top