Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merancang untuk memberikan 500 biasiswa Program MyBrain 2.0 setiap tahun bermula tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta setahun. Penerima program ini terdiri daripada orang awam yang tidak bekerja atau tidak mempunyai pendapatan tetap termasuk pensyarah institut pengajian tinggi swasta untuk melanjutkan pengajian ke tahap Sarjana dan Doktor Falsafah.
Program MyBrain 2.0 merupakan penjenamaan semula daripada program MYBrain15 yang diperkenalkan pada tahun 2011 sebelum dihentikan pada tahun 2016. Program ini diperkukuhkan lagi melalui aspek liputan dan pelaksanaannya termasuk penyemakan semula kontrak untuk mengelakkan pelanggaran terma biasiswa oleh penerima.
KPT memperuntukkan RM20 juta bagi setiap tahun untuk program ini khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di pelbagai peringkat pengajian. Program MyBrain 2.0 boleh dipohon oleh sesiapa sahaja yang layak bermula Januari tahun depan.
Beberapa tambahan baru dibuat termasuk memastikan penerima tamat pengajian, memberi pilihan tempat pengajian di IPTA dan IPTS tempatan, dan elaun sara hidup sebanyak RM1,000 sebulan sepanjang pengajian. Pemilihan penerima juga akan melalui proses kelayakan akademik yang lebih ketat termasuk sesi temubual untuk memastikan graduan berkualiti.
Prestasi penerima juga akan dipantau melalui Sistem Biasiswa Bersepadu yang membolehkan muat naik laporan kemajuan secara atas talian dan penilaian kemajuan dilaksanakan secara sistematik. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Jun lalu telah bersetuju dengan pelaksanaan Program MyBrain 2.0 bermula tahun depan sebagai sambungan daripada program MyBrain15.