PRN Simpang Jeram : Undi Calon BN Demi Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 8 September 2023 – Pemuda UMNO Johor mengakui bahawa PRK di Johor kali ini membawa cabaran yang tidak mudah terutamanya bagi akar umbi UMNO dan orang Melayu yang selama puluhan tahun telah memilih dengan setia ‘logo dacing’ pada kertas undi mereka.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros berkata selama ini, pengundi akar umbi UMNO tidak pernah mengenal pilihan lain selain daripada parti mereka sendiri. Ini adalah satu tradisi yang teguh di kalangan orang Melayu, namun dalam PRK di Simpang Jeram, kita semua terpaksa melihat gambaran yang lebih besar.

“PRK ini bukan hanya sekadar pemilihan wakil rakyat, tetapi juga akan menentukan kestabilan Kerajaan Negeri Johor yang dipimpin oleh YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi. Datuk Onn Hafiz telah membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin yang berwawasan dan komited untuk memajukan Johor selama hampir dua tahun dalam jawatannya.”

Beliau mengajak akar umbi UMNO dan orang Melayu untuk mempertimbangkan segala usaha dan pencapaian Datuk Onn Hafiz selama tempoh membawa visi yang jelas untuk membina negeri dan bangsa kelas pertama, masyarakat yang makmur, bersatu-padu, dan sejahtera.

Walaupun masih ada syak dan sangsi, terutamanya berkaitan dengan personaliti tertentu dan isu-isu nasional belakangan ini, PRK di Simpang Jeram memerlukan pemikiran yang matang.

“Kepada yang sukar untuk percaya kepada Pakatan Harapan, kami memahami dan mengerti. Setidak-tidaknya, percayalah kepada Datuk Onn Hafiz sebagai pemimpin Johor yang telah membuktikan kesungguhannya.” tambahnya lagi.

‘Dalam situasi di mana sokongan kepada parti lain mungkin sukar, anggaplah ini sebagai satu cara untuk membantu Datuk Onn Hafiz sebagai pemimpin Johor. Kami ingin menekankan, jangan kerana nyamuk, kelambu di bakar, dan jangan kerana sentimen dan pengaruh luar, kemakmuran negeri kita menjadi korban sekaligus tergadai.”

Pemuda UMNO Johor berharap agar rakyat Simpang Jeram dapat membuat keputusan yang bijak dalam PRK ini, memilih berdasarkan wawasan dan prestasi, demi kebaikan bersama dan masa depan yang lebih cerah untuk negeri Johor.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top