Yayasan Pasir Gudang bersama YB Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas merangkap Pengerusi Yayasan Pasir Gudang, menziarahi empat orang pesakit kronik yang sedang berjuang melawan penyakit-penyakit yang menghantui hidup mereka. Ziarah ini dilakukan di sekitar kawasan Taman Scientex dan Taman Desa Rakyat Perdana.
Pesakit kronik Pertama, Puan Aznah binti Mat Isa, adalah seorang ibu yang mengalami penderitaan selama tiga tahun terakhir ini. Strok yang datang menghampirinya telah mengubah hidupnya secara drastik. Kini, Puan Aznah tidak lagi mampu bergerak dan memerlukan pemerhatian penuh dari suaminya, Encik Fadil bin Othman serta anak-anaknya. Penderitaan ini juga melibatkan anak sulung mereka yang mengidap cerebral palsy, memaksa keluarga ini berjuang melewati setiap hari dengan penuh pengorbanan. Keadaan ini telah menyukarkan Puan Aznah dari menerima rawatan lanjutan di rumah sakit karena kekangan wang yang mereka hadapi.
Pesakit kronik Kedua, Puan Badariah binti Bahri, seorang ibu tunggal, harus menghadapi pertarungan seumur hidup dengan penyakit jantung, kencing manis, dan tekanan darah tinggi. Penyakit kencing manis ini telah memaksa beliau untuk menyuntik insulin setiap hari, dan kesan sampingnya yang parah, seperti masalah saraf dan penglihatan yang semakin kabur, membuat hidupnya semakin sulit. Beliau juga menghadapi masalah pernafasan yang sering mempengaruhi aktiviti sehari-harinya.
Pesakit kronik Ketiga, adik Felzee Ezairin bin Azizi baru berumur 15 tahun mengalami penderitaan yang terus menerus sejak dua tahun yang lalu. Masalah sakit buah pinggang dan gastrik yang kronik telah memaksa Felzee untuk meninggalkan sekolahnya sejak April 2023. Kehidupannya penuh dengan kelelahan, sesak nafas, dan rasa sakit yang membuatnya sukar untuk menghadiri kelas dan menaiki tangga. Rawatan yang intensif di Hospital Sultan Ismail (HSI) adalah satu-satunya harapan yang ada untuk adik Felzee.
Pesakit kronik Keempat, Muhammad Al-Firdaus bin Amar Ikhwanul Hadi, seorang kanak-kanak berusia 3 tahun, mengalami nasib tragis ketika jatuh dari tingkat 3 di lingkungan rumahnya. Ibunya, Puan Nur Amira binti Ramlan, harus menyaksikan anaknya mengalami patah dan retak pada tangan kanannya. meskipun tangan kanannya masih dalam perawatan, beliau memberitahu tangan anaknya semakin beransur pulih.
Di akhir kunjungan, YB Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib telah memberikan sumbangan wang ihsan kepada pesakit-pesakit kronik ini, bersama dengan bakul makanan dan hamper buah sebagai bentuk bantuan dari Projek Ekonomi Rakyat (ERA). Semoga bantuan ini dapat membantu meringankan beban finansial keluarga-keluarga yang sedang berjuang.
Semoga kesemua pesakit yang diziarahi pada hari ini diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik serta digantikan dengan rezeki yang lebih baik pada masa akan datang atas asbab sakit dan ujian yang mereka alami. Turut serta dalam ziarah ini adalah Encik Nooraizam bin Rowaji, Setiausaha UMNO Bahagian Pasir Gudang merankap Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).