Malam Isnin, 4 September, Azleen Ambros selaku Ketua Pemuda UMNO Johor telah menghadiri perjumpaan jentera sayap-sayap UMNO-BN dari Parlimen Bakri dan utara Johor untuk menyatakan sokongan kepada calon Perpaduan bagi PRK DUN Simpang Jeram dari PH-Amanah. Perkumpulan malam itu hanyalah sebahagian usaha untuk memenangi calon Perpaduan yang telah disepakati bersama.
Yang paling penting katanya, kerja lapangan mendekati, memujuk dan meyakinkan pengundi oleh jentera UMNO di semua 11 PDM di DUN Simpang Jeram akan diteruskan sehingga hari mengundi. Ini adalah janji dan komitmen parti ujar Azleen Ambros yang juga sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang.
Persetujuan jentera UMNO berdasarkan beberapa asas. UMNO bersetuju untuk terus melindungi negeri Johor daripada unsur-unsur luar yang memecahbelahkan perpaduan mereka sebagai Bangsa Johor. Warna politik bukan nilai sebenar dan bertentangan dengan jati diri mereka sebagai Bangsa Johor.
UMNO juga bersetuju untuk terus mempertahankan nilai-nilai mereka sebagai bangsa yang bersatu padu berdasarkan prinsip Islam daripada didikan sistem sekolah agama Johor, bukan daripada doktrin parti politik. UMNO bersetuju untuk terus diwakili oleh wakil Kerajaan Perpaduan bagi memastikan agenda Maju Johor di bawah Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi dapat dilaksanakan. Ini kerana rakyat Johor bijak memilih pencapaian berbanding terjebak dengan sentimen.