KUALA LUMPUR, 10 Jun – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya Barisan Nasional (BN) akan memperoleh lebih kerusi di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata agihan kerusi yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat itu akan menyaksikan peningkatan berbanding semasa ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU).
“PRN di enam negeri, saya amat yakin insya-Allah kita akan memuktamadkan tentang pengagihan kerusi dan insya-Allah kita akan memperoleh kerusi yang sepatutnya dan melebihi PRU yang lepas,” katanya pada ucapan penggulungan dan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Pada PRU14, BN bertanding di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor (56), Pulau Pinang (13), Kedah (36), Negeri Sembilan (36), Kelantan (45) dan Terengganu (32).
Pada pilihan raya berkenaan, BN memenangi hanya empat kerusi di Selangor, dua di Pulau Pinang, tiga di Kedah, 16 di Negeri Sembilan, lapan di Kelantan dan 10 di Terengganu.
Berucap di hadapan lebih 2,000 perwakilan di Dewan Merdeka, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata mana-mana parti akur soal Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu tidak ada kompromi untuk dibahaskan.
Pada ucapan itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan Tabung Pendidikan Melayu yang dilancarkannya semasa perhimpunan itu kini telah mendapat RM1.6 juta kutipan.
“Saya ingin umumkan semua menteri dan timbalan menteri yang mewakili UMNO telah setuju dan menandatangani pemotongan gaji satu bulan,” katanya.
Dalam sidang media, Ahmad Zahid berkata cawangan dan bahagian UMNO juga akan meneruskan kutipan dan menjangkakan tabung itu akan mencapai kutipan RM2.5 juta yang antara lain turut disumbangkan oleh pemimpin-pemimpin daripada peringkat cawangan sehinggalah lima yang tertinggi.
Mengenai permohonan pendaftaran keahlian baharu UMNO yang boleh dilakukan secara dalam talian, Ahmad Zahid berharap Pemuda dan Puteri UMNO dapat memainkan peranan lebih untuk menarik lebih ramai ahli tanpa sekatan.
Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan ketika penggulungan berkata pimpinan parti mempunyai amanah yang besar untuk melindungi UMNO sekali gus memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Memberi perumpamaan UMNO seperti sebuah pokok yang besar yang menjadi tempat berlindung daripada hujan dan panas, beliau berkata parti juga memerlukan pembelaan.
“Mari kita tinggalkan benih supaya benih ini tumbuh subur untuk orang berlindung daripada hujan dan panas. Pokok besar ini juga banyak hasilnya dan ramai memerlukan pokok ini jadi janganlah kita tebang pokok ini.
“Ramai lagi anak cucu kita nak makan. Mari kita sirami pokok ini yang selama ini memberi kita makan dan teruskan hidup,” katanya yang turut menggesa ahli UMNO tidak lagi bercakaran sesama sendiri. – BERNAMA