Konvensyen Kerajaan Perpaduan Berjalan Lancar, Suasana Harmoni Simbolik Penyatuan Kukuh

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia yang berlangsung semalam berjalan lancar dengan suasana harmoni dan penyatuan kukuh dalam kalangan 19 parti-parti menaungi kerajaan.

Bertemakan ‘Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia’ ianya bermula awal pagi dengan Konvensyen Nasional Wanita dan Konvensyen Pemuda Perpaduan.

Konvensyen Nasional Wanita diadakan di Dewan Merdeka manakala Konvensyen Pemuda Perpaduan di Dewan Tun Hussein Onn.

Tiga sub-sesi dialog dinamakan Bicara Rakyat juga diadakan pada sebelah petang membabitkan tiga diskusi yang membicarakan berkenaan isu Memperkasa Ekonomi Rakyat, Membina Negara Bangsa dan Malaysia Madani.

Seterusnya pengerusi parti-parti gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan khususnya Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil tempat berucap yang bermula jam 3 petang di Dewan Merdeka.

Kemuncak konvensyen, Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat berkenaan hala tuju kerajaan ke arah manfaat kepada rakyat dan negara.

Berdasarkan tinjauan UMNO Online, rata-rata ahli parti yang hadir meluahkan kesyukuran dengan penganjuran konvensyen ini.

Malah ada dalam kalangan mereka berharap ianya menjadi penyatuan kukuh bagi mendukung kerajaan ini sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16). – UMNO Online

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top