1. Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan keputusan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menarik balik rayuan yang telah difailkan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dalam permohonan semakan kehakiman isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
2. Sehingga kini, KDN masih belum menjelaskan asas-asas serta justifikasi mengenai keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan proses rayuan tersebut di Mahkamah Rayuan. Pejabat Peguam Negara yang menasihati kerajaan juga masih belum memberikan apa-apa penjelasan mengenai keputusan terbaharu ini.
3. Rasa kesal dan kecewa ini timbul atas beberapa asas.
4. Pertama. Sewajarnya, proses serta prosedur rayuan wajar diteruskan berlangsung bagi memastikan segala khilaf dan kekurangan yang mungkin telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya sebelum ini dapat diperbetulkan di Mahkamah Rayuan. Ini bagi memastikan keadilan mengenai isu ini betul-betul diperolehi.
5. Kedua. Tindakan menarik balik rayuan yang telah difailkan adalah satu duluan buruk (bad precedence). Lebih-lebih lagi ianya melibatkan kes dan isu sensitif yang melibatkan martabat, kedudukan dan kesucian agama Islam. Tindakan menarik balik rayuan juga yang tidak wajar dilakukan oleh mana-mana kerajaan, kerana ianya menunjukkan bahawa kerajaan tidak tegas dalam mempertahankan kedudukan agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
6. Ketiga. Peluang untuk semua pihak mendapatkan keadilan dalam isu ini sudah tertutup apabila rayuan ditarik balik oleh pihak kerajaan. Siapakah akan bertanggungjawab sekiranya isu ini masih meleret dan dijadikan asas oleh puak-puak ekstremis. Kerajaan perlu ada akauntabiliti terhadap apa jua tindakan susulan daripada keputusan terbaharunya ini.
7. Untuk itu, adalah wajar pihak KDN dan Peguam Negara menjelaskan kepada semua secara tuntas akan keputusan yang telah pihak kerajaan buat mengenai perkara ini pada kadar yang segera.
NOOR AZLEEN AMBROS
Ketua, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor
15 Mei 2023