Pendirian UMNO Terbaik, Tepat, Negara Perlukan Kestabilan Politik

Saya meneliti kenyataan terbaru Presiden UMNO mengenai pendekatan parti terhadap pelbagai keputusan yang dibuat oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Saya percaya pendirian UMNO ini adalah yang terbaik dan tepat ketika ini walaupun kelihatan sangat asing kepada amalan politik cara Malaysia yang kita ketahui selama ini.

Sejujurnya, UMNO tidak pernah terbayang keadaan di mana pemimpin tertingginya memimpin parti tetapi tidak menguasai Kerajaan, dan sebaliknya. Inilah yang sedang berlaku sekarang. Era ideal di mana pemimpin UMNO bukan sahaja memimpin parti tetapi turut menguasai Kerajaan, telah berakhir.

Apakah makna dari semua ini? Maknanya UMNO dan Kerajaan, adalah dua entiti dengan kebebasan, pendirian dan haluan yang tersendiri. Adakala ia akan bertemu dalam pendirian dan haluannya, adakala ia akan terpisah dan mengalir dengan haluan sendiri.

Dengan keadaan sedemikian, kita boleh menjangkakan bahawa UMNO akan mendukung Kerajaan selagi mana pendirian Kerajaan itu mengangkat kepentingan dan kebaikan umum serta tidak bercanggah dengan aspirasi parti.

Tetapi ada juga keadaan dan perkara yang akan menyaksikan UMNO membawa pendirian berlainan dan terpulanglah kepada Perdana Menteri menjalankan tanggungjawabnya mengurus Kerajaan. Ada dasar dan pendirian UMNO yang Perdana Menteri tidak boleh laksanakan dan UMNO memahaminya.

Tetapi perkara tentang parti dan urusan parti, itu adalah tanggungjawab Presiden dan kepimpinan parti dan tiada siapa wajar mencampurinya. Dalam hal ini, Presiden membuat penegasan tiga tugas yang UMNO akan utamakan.

Pertama, Presiden dan Majlis Tertinggi akan menguruskan parti sebaiknya dan menjalankan segala tugas seperti yang diperlukan.

Kedua, ia akan menetapkan pendirian parti dalam pelbagai isu dan Kerajaan bebas untuk menerimanya atau tidak. Ketiga, parti akan menjadi wadah semak dan imbang yang berprinsip serta menggunakan pelbagai saluran yang ada untuk membantu Kerajaan.

Untuk mengatasi situasi kurang ideal di mana Kerajaan tidak dikuasai oleh parti, Presiden memberi pencerahan bahawa jalan terbaik ialah mengadakan pilihan raya umum.

Mengikut kenyataan Presiden, ia mesti diadakan sebaik sahaja Malaysia memasuki fasa endemik dan apabila kadar vaksinasi telah mencapai keadaan wajar dan munasabah untuk melakukan pilihan raya umum dengan selamat. Dalam hal ini lebih 80 negara telah melaksanakan PRU semasa pandemik dan Malaysia tidak boleh terkecuali.

Bagi menghadapi pilihan raya, semua persediaan adalah tanggungjawab parti dan hanya budi bicara parti. Penentuan kerusi, manifesto, pemilihan calon dan sebagainya adalah urusan parti dan tidak seharusnya ada campur tangan.

Yang jelas, Presiden memberi komitmen bahawa parti akan menggunakan segala masa yang berbaki untuk menyediakan diri menghadapi PRU. Ia akan cuba menang di semua kerusi tradisinya.

Kerusi UMNO yang ditandingi dalam PRU-14 akan terus menjadi kerusi UMNO untuk PRU-15. Ini adalah perkara yang jelas. Tiada kompromi tentang perkara tersebut.

Semoga keadaan janggal Kerajaan tidak dikuasai oleh parti akan segera berakhir melalui PRU. Saya percaya negara sangat perlukan kestabilan politik mengatasi segala perkara lain.

DATUK SERI HJ. MOHAMED KHALED NORDIN
Naib Presiden UMNO

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top