Sudah Tiba Masanya Akta Lompat Parti Diperkenal, Budaya Tidak Bermoral – Shahrir Samad

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Akta Lompat Parti terus mencuri perbahasan di kalangan masyarakat umum setelah berlakunya perubahan senario politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu apabila berlakunya lompat parti di kalangan Ahli Parlimen.

Topik berkenaan turut dibahaskan menerusi Bicara Nasional malam tadi yang menampilkan beberapa tokoh terkemuka termasuklah Ketua UMNO Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad serta panelis lain daripada mereka yang berlatarbelakangkan profesion undang-undang.

Tan Sri Shahrir Samad dalam ulasannya menegaskan budaya lompat parti menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi negara malah Malaysia yang dulunya menjadi negara contoh tidak lagi menjadi sebutan hari ini.

“Sebaik-baiknya pada saya Ahli Parlimen yang terpilih ini boleh dianggap sebagai contoh… bayangkan 222 daripada seluruh rakyat… kumpulan yang patut membawa tauladan dan satu contoh yang baik.

“Ini sebenarnya menjejaskan nama baik negara sendiri. Orang sekarang tidak pandang lagi Malaysia… dulu kita menjadi contoh dan rujukan. Demokrasi, pembangunan ekonomi dan juga menguruskan sebuah negara yang berbilang bangsa serta agama dan ini bukanlah sesuatu yang mudah serta ianya memerlukan adanya kebijaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Bicara Nasional: Akta Lompat Parti’ yang disiarkan secara Live menerusi Facebok BNCOMM, di sini, malam tadi. Dua lagi panelis ialah Peguambela dan Peguamcara, Dr Shamser Singh Thind dan Datuk Rosni Zahari serta moderator Datuk Adnan Seman.

Shahrir seterusnya menambah perlunya satu-satu tindakan yang lebih tegas dalam membendung fenomena yang berlaku hari ini kerana kesannya cukup meluas.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa kekecewaan itu sebenarnya kepada saya secara peribadi. Kekecewaan itu juga berlaku di kalangan rakyat sendiri terhadap perkara berkenaan… yang mana berlakunya penghijrahan keluar… ada yang kata penghijrahan, melompat parti atas sebab-sebab yang boleh dikatakan dari segi undang-undang ‘legal’ boleh melompat, boleh keluar sebab tidak ada undang-undang yang boleh menyekat. Tetapi dari segi moral orang politik dan dalam politik Malaysia sendiri terjejas dengan apa yang telah berlaku. Orang ketawakan kita sekarang,” ujarnya.

Sementara itu, Peguambela dan Peguamcara, Datuk Rosni Zahari turut berpandangan sama bahawa budaya berkenaan adalah satu tindakan atau langkah yang tidak bermoral.

Bagi beliau pengundi telah memberikan kepercayaan dengan memilih parti yang bertanding, namun sebaliknya berlaku apabila Ahli Parlimen mengambil keputusan untuk melompat parti.

“Pada PRU yang lalu, BN mempunyai lebih 70 Ahli Parlimen dan menyusut kepada 40 lebih hari ini. Pengundi mengundi mereka yang telah melompat parti atas tiket Barisan Nasional (BN) maknanya mandat yang diberikan oleh pengundi itu adalah mandat kepada BN dan calonnya dipilih oleh pucuk pimpinan BN.

“Jadi apabila menang dan mereka ini melompat pergi ke parti lain pada saya itu adalah sesuatu yang sangat tidak adil kepada pengundi dan juga kepada parti itu sendiri,” katanya.

Tambah beliau, itu belum lagi diambil kira jumlah kos yang digunakan semasa pilihan raya dan bagaimana jentera-jentera bekerja dari rumah ke rumah berkempen untuk memenangkan mereka-mereka ini dan apabila menang mereka mengambil keputusan meninggalkan parti.

“Saya tidak dapat nak bayangkan pengkhianatan dan anggap pengkhianatan kepada parti ketika Allah swt memberikan sedikit dugaan. Rambut sama hitam namun hati lain-lain dan ini kita boleh membuat penilaian sendirilah terhadap mereka ini. Kalau kita tengok di negara-negara lain memang dah ada undang-undang yang menghalang mereka ini daripada melompat parti,” tambahnya.

Bagi Dr Shamsher Singh Thind, Parlimen boleh menggubal undang-undang untuk mengenakan sekatan.

“Perlu ada satu akta yang khusus dalam usaha melarang untuk menghalang lompat parti dan juga ada pindaan-pindaan yang perlu dilakukan dalam Perlembagaan,” jelasnya.- UMNO Online

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top