PASIR GUDANG, 28 Mac – Kelainan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada tahun ini secara maya memandangkan negara masih lagi dalam keadaan pemulihan berikutan wabak covid-19.
UMNO Bahagian Pasir Gudang telah mengikuti persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2020 secara maya yang dipancarkan menggunakan sistem Webex di bilik mesyuarat tingkat dua Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang.
Menurut Nazri bin Tangis, Perwakilan G7 UMNO Bahagian Pasir Gudang, Persidangan kali ini dibuat mengikut kebiasaan baru bagi setiap perwakilan, namun ia tetap memberi impak tinggi walaupun dalam keadaan yang tidak pernah mereka lalui sebelum ini.
“Walaupun perhimpunan secara maya bersama perwakilan yang diadakan seluruh negara dilakukan serentak namun momentum perhimpunan UMNO yang ditunjukkan oleh perwakilan di sini tetap bersemangat untuk memperkukuh parti dan fokus pada gerak kerja parti untuk memenangi PRU yang akan datang,” katanya.
PAU 2020 hari ini mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, (PWTC), Kuala Lumpur dan secara maya di 190 UMNO bahagian di seluruh negara.
Semalam, persidangan ketiga-tiga sayap parti berjalan lancar dengan perwakilan mematuhi jadual masa ditetapkan penganjur, termasuk menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.