UMNO Pasir Gudang Bawa Usul Pekerja Asing, Kualiti Pekerjaan dan Perumahan Rakyat

PASIR GUDANG, 4 Ogos 2017 – UMNO Bahagian Pasir Gudang akan mengemuka dan membahaskan usul berkaitan tahap kebergantungan ekonomi negara terhadap pekerja asing, dalam mesyuarat perwakilan tahunannya kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Usul UMNO Bahagian Pasir Gudang, Dahari Hassan berkata mesyuarat perwakilan yang bakal berlangsung pada 5 Ogos ini turut akan membincangkan mengenai kualiti dan jumlah pekerjaan yang diwujudkan dalam pasaran kerja di Malaysia.

“UMNO Pasir Gudang melihat pelbagai isu berkaitan warga asing serta tahap kebergantungan ekonomi negara pada hari ini terhadap pekerja asing perlu ada penyelesaian yang lebih holistik dan menyeluruh.

“Kita tidak boleh membiarkan warga asing terus membanjiri banyak sektor pekerjaan yang terdapat dalam pasaran kerja pada hari ini akibat terdapat banyak kelemahan melibatkan dasar, penguatkuasaan selain ketirisan yang mungkin berlaku di beberapa buah agensi berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambahnya, beberapa cadangan mengenai isu dan hal berkaitan keperluan rakyat melibatkan perumahan juga akan dibincangkan oleh sidang perwakilan dalam mesyuarat tersebut.

“Beberapa perkara berkaitan perumahan terus mendapat perhatian serta hangat diperbincangkan di pelbagai peringkat akar umbi, jadi UMNO Bahagian Pasir Gudang berpandangan bahawa wajar isu ini diangkat ke peringkat yang lebih tinggi agar dasar dan strategi penyelesaian berkaitan permasalahannya mendapat perhatian pihak kerajaan,” ujarnya lagi.

Usul-usul tersebut akan dibentangkan oleh Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Gudang, Roslan Hassan dan Ibrahim Ismail serta wakil Pergerakan Puteri, Siti Norhidayah Nasrun.

Dahari Hassan yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pasir Gudang turut akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul tersebut.

Menjadi kelaziman bagi mesyuarat perwakilan tahunan organisasi UMNO di setiap Bahagian untuk mencadang dan membahaskan beberapa usul berkaitan ekonomi, pendidikan, agama dan politik tanah air.

Usul tersebut akan diangkat ke peringkat yang lebih tinggi dan dibawa ke perhatian pucuk pimpinan parti di peringkat negeri dan kebangsaan.

Hasil dan rumusan berkaitan dengannya akan menjadi panduan pihak kerajaan dalam merangka dan memperkukuh dasar-dasar berkaitan sedia ada.

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang 2017 akan berlangsung di Dewan Utama, Kampus UniKL-MITEC Pasir Gudang di Bandar Seri Alam, Masai.

Majlis perasmian dijadual disempurnakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada pukul 9.00 pagi.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin merupakan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top