JOHOR BAHRU, Jentera pilihanraya Barisan Nasional (BN) Johor bersedia untuk memberi tentangan kuat kepada segala gembar gembur dan perang psikologi yang dibuat oleh pembangkang.
Pengerusi BN Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata jentera pilihanraya di negeri itu memang telah digerakkan membuat persiapan bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU 14).
“Apa pun gembar gembur pembangkang, ‘psywar’ (perang psikologi) ataupun benda lain, kita akan berikan tentangan yang kuat.
“Banyak andaian dikeluarkan konon Johor akan jatuh (ke tangan pembangkang) dan sebagainya tetapi kita tidak termakan,” katanya ketika sidang media pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Perubatan Pakar Waqaf di Bandar Baru Uda, hari ini.
Tambah Mohamed Khaled, agenda pembangunan Kerajaan Negeri yang dilaksanakan adalah untuk rakyat sendiri melihat perjuangan BN di Johor.
“Penting juga untuk kita majukan ekonomi kerana tanpa kekuatan ekonomi, kita tidak akan dapat atasi kesenjangan.
“Akhirnya rakyat dapat menilai dan boleh memilih sama ada berdasarkan politik semata-mata atau kerana mahukan perkhidmatan berterusan ke arah kemajuan kita semua,” kata beliau.