PASIR GUDANG, 20 Julai – Ibadah haji mengajar tentang persaudaraan dan kesamarataan dalam Islam kerana kesemua jemaah haji akan mengerjakan ibadah yang sama tanpa mengira darjat atau kedudukan individu tersebut.
Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata tiada perbezaan bagi individu dalam mengerjakan ibadah haji ketika berada di tanah suci.
“Kesemuanya harus berihram putih. Kesemuanya bertawaf mengelilingi Ka’bah. Kesemuanya bersaie di antara Safwa dan Warwah. Kesemua melontar pada jamrah yang sama. Dan yang lebih penting, tidak kiralah dari pelusuk dunia mana pun kita hadir, kesemua kita sujud menghadap kiblat yang sama,” Mohamed Khaled berkata dalam majlis meraikan bakal jemaah haji rombongan kerajaan negeri Johor.
Beliau turut meminta para jemaah haji untuk mendoakan kebaikan buat negara, umat Islam dan negeri Johor khususnya.
“Benar kerajaan negeri dan seluruh jentera kerajaan yang ada hari ini bekerja keras. Siang dan malam kami memikirkan bagaimanakah cara dan pendekatan terbaik untuk kita menjadikan Johor negeri terbaik. Negeri dan masyarakat yang harmoni dan Islami.
“Usaha demi usaha kita gembleng dan laksanakan. Namun, sebagai orang Islam, kita juga yakin dan percaya, betapa doa itulah senjata dan kekuatan terbaik kita,” katanya lagi.
Beliau turut berpesan kepada para jemaah haji ini untuk fokus di dalam mengerjakan ibadah serta melupakan sebentar urusan dunia dan kehidupan.
Mohamed Khaled turut mendoakan mereka mendapat haji yang mabrur.