PASIR GUDANG, 4 Jun – Seramai 470 penerima daripada golongan kurang berkemampuan dalam kawasan Pasir Gudang menerima sumbangan bagi meringankan beban mereka sempena bulan Ramadan kali ini.
Sumbangan itu adalah kerjasama antara Yayasan Pasir Gudang, Biro Kebajikan UMNO Bahagian Pasir Gudang dan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM80,000.
Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Yayasan Pasir Gudang, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata kesemua penerima itu menerima sumbangan tunai RM100, manakala RM100 lagi berbentuk barangan keperluan.
Beliau berkata, pihaknya menjadikan sumbangan itu sebagai satu amalan kerana masih ada masyarakat yang memerlukan, walaupun negeri ini sudah mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan.
“Selain itu, saya minta masyarakat memajukan diri dan bukan sekadar menerima hakikat bahawa mereka adalah penerima bantuan.
“Kita menyeru masyarakat mengambil peluang daripada program Kerajaan Negeri bagi mengupayakan mereka melalui program pendidikan, kemahiran dan peluang ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Program Ziarah Kasih Ramadan Al-Mubarak Bahagian Pasir Gudang di dewan Taman Cendana di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abd Samad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim.
Mengenai perkembangan Projek Ekonomi Rakyat (ERA) Johor di Taman Cendana, Mohamed Khaled berkata, projek itu yang berkonsepkan tanaman contohnya, cili, sayur sawi dan terung telah lebih setahun diusahakan dan mereka sudah mendapat manfaatnya.
“Baru-baru ini, kita menggalakkan kumpulan ibu tunggal untuk membuka perniagaan aiskrim dan sehingga kini mereka terlibat dalam penjualan yang difahamkan mendapat tempahan pada setiap hari.
“Begitu juga beberapa kumpulan wanita untuk menanam cendawan dan ia sudah pun bermula, Selepas ini, mengusahakan lebah kelulut pula,” katanya.
Beliau berkata, projek itu akan diperluaskan di seluruh Johor selepas projek perintis di Pasir Gudang meraih kejayaan.