JOHOR BAHRU: Seramai 100 penduduk Kampung Senibong di sini, bakal menerima kediaman teres dua tingkat bagi projek pembangunan semula kawasan itu yang dijual dengan harga hanya RM25,000.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata harga istimewa kediaman seluas 130 meter persegi itu diputuskan selepas mengadakan rundingan bersama penduduk kampung berkenaan bersama pemaju dan kerajaan negeri.
Katanya, fasa pertama projek berkenaan membabitkan pembinaan 55 unit kediaman teres dua tingkat yang akan bermula Oktober ini dan dijangka siap tahun hadapan.
“Fasa kedua projek ini membabitkan 45 lagi unit teres dua tingkat yang dijangka siap pada 2019 dan semua 100 penerima adalah penduduk asal Kampung Senibong.
“Surat aku janji kerajaan negeri akan dikeluarkan dan diberikan kepada penduduk ketika lawatan kerja saya ke Parlimen Pasir Gudang pada 21 Mei ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pecah tanah pembangunan semula dan Mesyuarat Agung Koperasi Warisan Kampung Senibong di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri turut menyediakan 210 unit rumah pangsa kepada generasi kedua Kampung Senibong, bagaimanapun harga bagi kediaman itu belum diputuskan lagi.
“Usia Kampung Senibong lebih 100 tahun dan penduduk sudah lama mohon hak milik, tetapi hak milik tanah sudah bertukar tangan kepada pemaju.
“Jadi kerajaan negeri berunding dengan pemaju dan capai satu penyelesaian selain penduduk kampung bersetuju meskipun tidak mendapat geran tanah, tetapi akan berpindah di suatu kawasan yang dibangunkan semula,” katanya. -Berita Harian