RUU355 Serlahkan Jiwa Besar Datuk Seri Najib Razak

Umumnya dapat melihat sendiri bahawa YB Ahli Parlimen Marang yang merupakan Presiden parti PAS akhir nya telah berjaya membentangkan RUU 355 Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

Ia bagi saya adalah suatu peristiwa yang amat bermakna lagi bersejarah. RUU ini telah buat sekian kalinya pihak pembangkang mendapat kebenaran dari pihak kerajaan membentangkan RUU persendirian. Lazimnya pembentangan RUU dibentang oleh pihak kerajaan. Namun, RUU 355 telah mendapat laluan dari kerajaan untuk dibentang pada sesi persidangan Parlimen yang lalu.

Sewaktu pihak kerajaan membenarkan YB Marang membentangkan bacaan kali pertama RUU tersebut, amat memeranjatkan kita adalah apabila yang mula-mula bangun menentang pembentangan bacaan RUU tersebut bukanlah pihak kerajaan, khasnya wakil rakyat dari BN. Apa yang jelas, yang menentang serta bangun dan cuba mengganggu pembacaan tersebut adalah mereka-mereka yang suatu ketika dahulu cukup kuat menyatakan bahawa BN dan UMNO khasnya adalah parti yang tidak memperjuangkan Islam sebagai agama rasmi negara di samping tidak mendaulatkan agama Islam! UMNO gagal memperjuangkan Islam dan Islam juga dipandang hina dan sering diperlekehkan di bawah pimpinan kerajaan BN, yang mana UMNO adalah tunggak parti BN.

Barisan kepimpinan UMNO yang suatu ketika dahulu digelar “Thogut”, dan yang paling menyedihkan dan tidak akan dilupai bagaimana seorang yang diiktiraf sebagai “ulama” ataupun “Tok Guru” secara terang-terangan menganjurkan solat hajat sambil menangis terisak-isak dengan tawadhu’nya memohon kehadrat Ilahi agar BN dan UMNO khasnya di “KO” kan oleh Allah SWT. Masih terngiang-ngiang di telinga ini akan setiap butir sebutan doa tok guru tersebut mahukan Allah meng “KO” BN dan UMNO khasnya. Jeritan pedih dan pilu merintih menyatakan bahawa agama Islam telah dihina, penganutnya pula ditekan serta dizalimi, diluahkan secara terbuka. Mereka yang suatu ketika itu cukup dan amat berbangga lagi meyakini bahawa rakan tahaluf dan wali baru mereka akan membantu mereka mencapai akan cita-cita mendaulatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Tidak lupa kita bagaimana mereka serta wali-wali baru mereka memperlekehkan serta menghina dengan keterlaluan kepimpinan Islam Melayu UMNO, dan sehinggakan ada di antara mereka dengan beraninya menyatakan secara terbuka bahawa Allah SWT mahukan mereka merampas dan memimpin Putrajaya!

Sikap diam seribu bahasa kepimpinan YAB DS Najib terus-terusan dijadikan modal oleh mereka serta sekutu-sekutu mereka bahawa sudah tiba akan masanya Allah akan memberikan tampuk kepimpinan negara kepada mereka demi mendaulatkan agama Islam serta menyelamatkan negara dari kemurkaan serta azab dari bala tentera kiriman Allah SWT. Pengundi-pengundi Melayu Islam yang berada di atas pagar terkesan dengan tidak tanduk serta amaran yang mereka akhirnya memberikan undian kepada mereka serta sekutu-sekutu mereka. Natijahnya, dalam PRU ke 13 telah berlakulah apa yang dinyatakan “tsunami” oleh YAB Perdana Menteri selepas keputusan PRU 13 diumumkan. Allah masih sayangkan Malaysia dan Allah tetap mahukan YAB DS Najib serta UMNO terus memimpin negara Malaysia.

Allah Maha Adil. Setiap hambaNya berhak memohon, meminta kepadaNya. Maksud firman Allah, “mintalah kepadaKu nescaya akan Aku kabulkan”. Namun kita sebagai hamba Allah harus juga ingat bahasa Allah lebih mengetahui dari kita dan Allah juga tidak akan menunaikan apa yang kita pohon jika kita benar-benar tidak layak memikulnya.

Petunjuk dari Allah kepada mereka-mereka yang mengakui beriman kepada Allah, qada dan qadar serta kepada hari akhirat, maka berlakulah beberapa musibah yang tidak terjangkau dari fikiran kita apatah lagi mereka. Banjir besar atau “banjir balak” berlaku dengan dahsyatnya. Penyakit serta pemusnahan kampong serta pengusiran umat Islam berlaku. Penyelewengan di kalangan barisan kepimpinan mereka serta sikap hipokrit mereka mula terserlah. Akhirnya UMNO yang dahulunya dituduh sebuah parti dan kepimpinan yang korup berlaku secara terang-terangan terhadap kepimpinan mereka juga. Lebih malang sekali apabila wali dan rakan sekutu yang mereka percayai serta dakapi telah melakukan perancangan sulit untuk menyingkirkan konsep kepimpinan ulama yang sering mereka agung-agungkan. Wali yang mereka makan, minum dan duduk bersama telah dibukakan hijab sebenar mereka oleh Allah SWT. Maka akhirnya berlakulah pemisahan siapa sebenarnya yang berjuang dan mendaulat untuk agama Allah?

Kepimpinan DS Najib dan UMNO sememangnya bukan sempurna. Hanya Allah jua yang sempurna. Ya, UMNO dan kepimpinannya banyak kelemahan, Itu hakikat dan kita seharusnya menerima hakikat tersebut kerana kita adalah insan yang lemah. Namun kepimpinan YAB DS Najib berusaha memperbaiki kelemahan-kelemahan kepimpinan beliau. Jangan kita lupa bahawa di zaman DS Najiblah banyak perkara-perkara kemungkaran telah dibongkarkan. Ia amat berbeza jika kita bandingkan dengan zaman pemerintahan Mahathir. Apa yang jelas, yang bersalah dan di dapati bersalah tidak akan dilindungi dan akan tetap dihukum.

Natijahnya, walau apa yang telah dipelakukan oleh pihak lawan dengan hamburan kata-kata fitnah, cacian serta pelbagai tuduhan, YAB DS Najib dengan sikap yang tenag, bijaksana serta mengamalkan politik matang telah membenarkan sesuatu yang tidak tergambarkan oleh mereka yang amat memusuhi nya akan memberikan laluan kepada pembentang RUU 355 dibentang sebagai usul persendirian oleh AP Marang, walaupun pada sesetangah pemerhati termasuk rakan politik beliau bahawa perbuatan beliau akan menyebabkan BN/UMNO akan kehilangan undi dari masyarakat bukan Islam yang umumnya akan diekspoitasikan oleh DAP khasnya untuk meraih sokongan pengundi cina dari MCA, Gerakan dan juga MIC di PRU yang akan datang.

DS Najib, mengambil langkah berjiwa besar dengan memaafkan mereka yang memusuhi beliau, memaafkan mereka serta menghulurkan tali silatulrahim demi agama Islam, bangsa dan negara Malaysia. Semuga Allah SWT akan terus memebrikan kekuatan kepada YAB DS Najib, barisan kepimpinan UMNO dan BN.

*** Pemulis ialah Azman Ja’afar, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top