JOHOR BAHRU, 6 April – Johor ingin meneroka industri robotik sebagai satu pelaburan baharu yang diyakini mampu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri ini.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata perkara itu menjadi antara tumpuan beliau dan delegasi negeri ketika mengadakan lawatan kerja ke Shanghai, China selama lima hari bermula 12 April ini.
Katanya, Kerajaan Negeri mahu pelaburan yang masuk ke negeri ini bukan sahaja akan dapat meningkatkan ekonomi negeri tetapi juga mampu menawarkan pekerjaan yang baik kepada rakyat tempatan.
“Kita kena pilih pelaburan kita, kita mahu pelaburan-pelaburan yang berteknologi tinggi sebab itu bukan sahaja meningkatkan ekonomi Johor tetapi juga akan memberi pendaptatan yang lumayan kepada rakyat.
“Pelaburan sebegitu yang kita mahu dan rakyat kita kena bersedia. Sebab itu kita ada skill hub dan sebagainya. Kita mahu rakyat-rakyat kita ada kerja yang baik, gaji yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi taklimat projek menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang Fasa 2A dan kerja menaik taraf Jambatan Sungai Plentong di Kampung Baru Cina Plentong, Masai dekat sini hari ini.
Katanya, pada lawatan itu, beliau akan mengadakan pertemuan bersama beberapa pemain industri robotik di Shangai bagi menarik pelaburan ke Johor.
“Kebiasaannya pelabur seperti ini lebih yakin untuk membuat pelaburan sekiranya pemimpin negeri itu sendiri bertemu mereka bagi mengadakan perbincangan.
“Ini kerana mereka mahukan jaminan dari segi kestabilan politik, jaringan infrastruktur dan juga jumlah tenaga kerja. Ini juga merupakan antara usaha Kerajaan Negeri untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi ke Johor,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Datuk Bandar Johor Bahru, A. Rahim Nin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hasim dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.
Mengenai projek pelebaran lebuhraya itu, Mohamed Khaled berkata, projek itu membabitkan kos RM164.3 juta.
Ia melibatkan kerja-kerja naik taraf jalan empat lorong kepada enam lorong sepanjang 7.7 kilometer bermula daripada persimpangan plentong dan persimpangan Seri Alam/Taman Rinting.
Projek yang bermula pada 7 Mac tahun lalu itu bakal siap September 2018.
“Saya berharap supaya pengguna dapat bersabar dan memberi segala kerjasama agar projek ini dapat berjalan dengan lancar,” katanya.
Selain projek pelebaran lebuhraya berkenaan, beliau turut mendengar taklimat berkenaan projek penggantian jambatan Sungai Plentong di Jalan Masai Lama.
Projek bernilai RM22 juta itu mula dilaksanakan Oktober tahun lalu dan dijangka siap Februari 2018.
Apabila siap kelak, ia akan meneyelesaikan masalah banjir kilat di kawasan itu.