PASIR GUDANG: Kerajaan Negeri Johor sentiasa mengambil berat dan serius khusus dalam soal pembangunan pendidikan yang berterusan sebagai pemangkin kepada pembangunan sosial dan ekonomi. Justeru itu, melalui Yayasan Pasir Gudang di bawah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) menyasarkan membuka empat lagi Pusat Tuisyen Komuniti (PTK) di sini, bagi merialisasikan pembangunan tersebut dapat dicapai.
Menteri Besar Johor yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Pasir Gudang berkata, ia seiring dengan hasrat yang disuarakan oleh penduduk setempat bagi menubuhkan pusat tuisyen yang akan memberi manfaat kepada semua pihak.
“Yayasan Pasir Gudang memperuntukkan sejumlah RM222,330 setahun bagi penubuhan dan kesinambungan Pusat Tuisyen Komuniti ini, termasuk RM15,000 kos operasi membabitkan pembiayaan elaun guru dan penyelia.
“Kebolehan Yayasan Pasir Gudang dalam mengendalikan pusat tuisyen ini adalah menerusi sumbangan satu peratus hasil dari kutipan cukai yang diserahkan oleh MPPG, selain pembiayaan kewangan dari sektor korporat dan swasta bagi meneruskan agenda pendidikan ini,” katanya.
Sebanyak 12 PTK yang sudah beroperasi dalam kawasan pentadbiran MPPG sejak ia ditubuhkan tahun 2009, manakala empat lagi dijangka beroperasi pada pertengahan tahun ini dan ia telah diuruskan oleh Yayasan Pasir Gudang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian PTK Tasek 64, Bandar Seri Alam, di sini, malam tadi. Yang turut hadir, Yang Dipertua MPPG, Hasrin Kamal Hashim.
Tambahnya lagi, “Tenaga pengajar adalah dalam kalangan guru sekolah yang mampu menggalas tugas mengajar dengan teknik pembelajaran yang terbaik selain mempunyai komitmen tinggi dalam usaha menaik taraf mutu pelajaran pelajar.
“Pendidikan kepada golongan sasar ini turut dianggap sebagai satu saluran pembasmian kemiskinan dan pengeluaran dari belenggu kemiskinan jika mereka (pelajar) mempunyai ilmu dan pelajaran,” katanya.