KELAB BONDA NORMALA FOKUS KHIDMAT MASYARAKAT

PASIR GUDANG: Kelab Bonda Normala (BNC) yang ditubuhkan sejak tahun 2014, kini bergerak agresif memberi perkhidmatan kepada masyarakat sekitar Parlimen Pasir Gudang secara lebih dekat bersama akar umbi.

Ahli Parlimennya, Datuk Normala Abd Samad, berkata beliau yang memberi idea penubuhan BNC itu memilih pendekatan penggunaan nama kelab bagi membolehkan kumpulan sasar melihatnya sebagai satu yang tidak ‘berat, lebih mudah dan selesa’ didekati. Katanya, istilah bonda juga menjadikan kumpulan sasar seperti golongan ibu tunggal, kurang berkemampuan selain usahawan wanita yang bergiat aktif untuk bersama menyertai pergerakan itu.

“BNC memiliki dua kelab kecil di bawahnya iaitu Kelab Ibu Tabah P159 yang kini mencecah 500 ahli dan Kelab Usahanita dengan 260 ahli berdaftar dan bergerak aktif bersama-sama. “Kita juga sudah menjalankan Kelas Bahasa Inggeris secara percuma kepada anak-anak dalam parlimen ini dan ternyata sambutannya amat memberangsangkan sehingga kini kami terpaksa menambah tenaga pengajar untuk menampung kelas dan jumlah pelajar yang kian bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui BH selepas menghadiri Program Asam Pedas Bonda Normala bersama pengamal media di Bangunan UMNO Bahagian Pasir Gudang di sini, malam tadi. Normala berkata, pihaknya juga menyasarkan untuk meningkatkan jumlah keahlian BNC pada tahun ini kepada 1,000 orang dan akan bergiat secara agresif mendekati masyarakat. Sumber : www.bharian.com.my

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top