TRADISI BUDAYA SESUATU BANGSA AKAN TERUS DIPELIHARA – KHALED

JOHOR JAYA, 11 Sept – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin menghadiri Majlis Pesta Tanglung yang di adakan di Johor Jaya.

Pesta yang dianjurkan sejak 18 tahun oleh masyarakat Tiong Hua itu membuktikan kerajaan hari ini tidak mengamalkan konsep asimilasi.

“Pesta tanglung yang merupakan budaya masyarakat Tiong Hua sememangnya digalakkan untak dijayakan. Ia selari dengan konsep yang kerajaan sentiasa sarankan iaitu kaum yang terdapat dalam negeri dan negara kita yang pelbagai itu sewajarnya dapat mengekalkan jati diri mereka.

“Tidak ada sebarang usaha daripada kerajaan untuk lakukan asimilasi. Kerajaan beri jaminan bahawa tradisi dan budaya sesuatu bangsa akan terus dipelihara dan dikekalkan supaya ia tidak diilupakan akibat peredaran zaman atau arus pemodenan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Tanglung anjuran Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kawasan Pasir Gudang.

Tambahnya lagi, kerjasama lebih 25 NGO Tiong Hua dalam menjayakan pesta berkenaan membuktikan permuafakatan yang kukuh antara NGO di kawasan berkenaan.

“Kerjasama dan permuafakatan itu sudah tentulah akan menjadi asas yang lebih besar yang kita hendak jayakan antara pelbagai kaum yang terdapat di negeri ini,” katanya ketika bercucap merasmikan Majlis Pesta Tanglung itu, dekat sini, malam tadi.

Penganjuran pesta itu juga membuktikan permuafakatan itu dicapai dengan penyertaan pelbagai kaum yang akhirnya akan mewujdukan pelbagai nilai positif.

“Apabila kita menganjurkan pesta seperti ini kita jemput pelbagai kaum dan kita mendedahkan mereka amalan dan budaya kita kepada kaum-kaum yang lain maka sudah tentu ini akan lahirkan nilai hormat menghormati, saling bekerjasama, sentiasa bertoleransi dan berbaik sangka antara semua kaum.

“Ini semua adalah asas permuafakatan. Bila kita bercakap hendak lahirkan Bangsa johor, asasnya adalah permuafakatan. Kita perlu tahu bahawa kita mesti berusaha dan wujudkan permuafakatan itu.

“Ia tidak lahir secara automatik, tidak datang bergolek. Apa yang kita buat pada malam ini menyumbang kepada asas permuafakatan. Bila sudah ada permuafakatan barulah bermakna konsep Bangsa Johor yang kita katakan itu,” katanya.

Beliau turut menyampaikan bantuan berjumlah RM40,000 kepada NGO-NGO di kawasan Pasir Gudang.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Dato’ Normala Abdul Samad.

Facebook
WhatsApp
Telegram
Twitter
Pinterest
Scroll to Top